Pengunjung dapat melihat bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembara Kuala Lumpur (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Menara Exchange 106 dan Menara Merdeka 118.

KUALA LUMPUR – Tamu Sky View bakal menjadi lokasi pelancongan baharu di ibu kota apabila akan beroperasi secara rasmi bermula 1 Jun ini kepada orang ramai.

Terletak di Tingkat 42 di Hotel Tamu & Suites Kuala Lumpur, ruang anjung terbuka itu dijangka menjadi tumpuan kerana ia menawarkan keindahan pemandangan seluruh ibu kota terutamanya pada waktu malam dengan skala 360 darjah.

Pengunjung pasti terpesona apabila dapat melihat bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembara Kuala Lumpur (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Menara Exchange 106 dan Menara Merdeka 118.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Tamu & Suites Kuala Lumpur, Syamsir Abu Bakar berkata, tarikan baharu itu dilihat mampu meningkatkan jumlah tetamu dari dalam dan luar negara ke hotel itu.

“Sempena pembukaan pada 1 Jun ini, kami hanya mengenakan harga RM20 bagi seorang dengan waktu maksimum berada di ruang anjung adalah selama 45 minit.

“Ia akan dibuka kepada orang ramai bermula pukul 7.00 pagi hingga 12.00 malam dengan pelbagai aktiviti akan diatur dengan tambahan caj di mana acara persendirian perlu membuat tempahan seminggu lebih awal dengan maksimum tetamu seramai 30 orang,” katanya pada majlis pra pembukaan bersama media baru-baru ini.

Tamu Sky View akan beroperasi bermula pukul 7.00 pagi hingga 12.00 malam

Syamsir menambah, apa yang menarik, Tamu Sky View juga bakal melakar sejarah apabila akan menyediakan menu patuh syariah selaras dengan slogan hotel tersebut.

Kata beliau, pengunjung Muslim boleh menjamu selera tanpa was-was kerana hotel itu tidak menyajikan apa jua menu yang berkait dengan alkohol dan makanan tidak halal.

“Hotel patuh syariah kini menjadi tumpuan di kalangan pelancong hari ini dan menjadi salah satu faktor kami membuka Tamu Sky View untuk mereka menjamu selera sambil menikmati pemandangan,” katanya.

Sementara itu, Tamu Hotel & Suites yang terletak di tengah-tengah kawasan Kampung Baru adalah lokasi penginapan bertaraf empat bintang yang terletak di Jalan Abdullah yang merupakan mercu tanda Zikay Group.

Hotel itu menawarkan 276 bilik dan 129 suites dengan pemandangan yang menarik dari pelbagai sudut di samping wifi percuma sepanjang menginap disana.

Selain pilihan bilik yang menarik, tetamu boleh memilih empat tempat berbeza untuk lepak dan menjamu selera iaitu di Lounge Serambi, Tamu Junction Place, Suasana@27 dan Tamu Sky Lounge. – MalaysiaGazette