KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menaik taraf sebanyak 384 institusi pendidikan termasuk Pusat Kegiatan Guru (PKG) di seluruh negara sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan (COE) pada tahun ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu antara perkara penting dalam pembudayaan digital bagi memantapkan kemahiran dan juga kompetensi guru.
“Jadi sebab itu kita mengangkat dan mengambil inisiatif menambah baik pusat kegiatan guru ini di 384 (tempat) dalam usaha kita mempersiapkan Center Of Excellent ini.
“Maksudnya di sini pusat kegiatan guru dan pusat-pusat yang terkait rapat dengan teknologi ini akan dilengkapi dengan bahan digital dan juga menjadi pusat tumpuan untuk para guru meningkatkan kompetensi mereka dan juga anak-anak murid,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah ‘Digital Utilisation and Technology’ (DUTA) Peringkat Kebangsaan tahun 2023 dan melancarkan pameran MyDigitalMaker Fair (MDMF) 2024 di Pusat Sains Negara hari ini.
Turut hadir timbalannya, Wong Kah Woh dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh.
Fadhlina turut memaklumkan pihaknya hanya melakukan kerja menaik taraf sahaja di kesemua institusi yang terlibat bagi menjadikan pusat kegiatan COE untuk pembudayaan digital dengan pembekalan studio digital dan digital maker hub. – MalaysiaGazette