Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menganjurkan Global Forum of Islamic Economics and Finance (GFIEF) dari 28 hingga 29 Mei 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia.

GFIEF dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, International Islamic Liquidity Management Corporation, Islamic Development Bank, Islamic Financial Services Board dan World Bank Group.

Acara ini merupakan kesinambungan kepada 15th International Conference on Islamic Economics and Finance (ICIEF) yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur, iaitu platform yang diwujudkan sejak tahun 1976 sebagai wacana intelektual bagi memajukan ekonomi dan kewangan Islam di negara-negara Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Bertemakan ‘Shaping a Resilient Global Islamic Economy Through Values-based Reforms’, GFIEF akan menghimpunkan para penggubal dasar, peneraju perniagaan dan penyedia perkhidmatan kewangan dari seluruh dunia untuk berbincang dan bersama-sama membangunkan masa depan yang membolehkan ekonomi dan kewangan Islam memainkan peranan penting dalam usaha memupuk kesejahteraan dan kesaksamaan yang dikongsi bersama.

GFIEF yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal mengetengahkan pelbagai pembentangan, perbincangan panel dan sembang santai tentang bermacam-macam topik yang meliputi antaranya kerjasama global, pengendalian urusan selepas tempoh pandemik, Maqasid Syariah dan peralihan ke arah sifar bersih.

GFIEF akan menghimpunkan penceramah antarabangsa termasuk Sanusi Lamido Sanusi, mantan Gabenor Central Bank of Nigeria; Dr. Fahad Ibrahim Alshathri, Timbalan Gabenor Saudi Central Bank; Dame Susan Rice, Pengerusi Global Steering Group, The Global
Ethical Finance Initiative; Ha-Joon Chang, Profesor Penyelidikan SOAS University of London; dan Dr. Jasser Auda, Presiden Maqasid Institute Global.

Acara ini turut menampilkan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor BNM serta Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018; Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi MIFC Leadership Council (MLC); Tan Sri Daud Bakar, Penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022; dan Tan Sri Andrew Sheng, Ahli MLC.

Sepanjang acara dua hari ini, GFIEF akan menyediakan peluang perniagaan bagi menghubungkan pelbagai pempamer antarabangsa dan tempatan termasuk para pengawal selia, kementerian, agensi kerajaan, industri perkhidmatan kewangan, pelbagai persatuan industri dan syarikat fintech, syarikat korporat, organisasi tidak berasaskan keuntungan dan pertubuhan bukan kerajaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Acara ini akan turut melibatkan pelbagai acara sampingan seperti perbincangan meja bulat dan kelas pakar pada 27 Mei dan 30 Mei 2024.

Amir Hamzah berkata, kewangan Islam menawarkan pendekatan menyeluruh yang menghayati keupayaan rangka kerja beretika untuk menghasilkan perubahan selaras dengan hasrat GFIEF untuk memajukan ekonomi dan kewangan Islam melalui pembaharuan berasaskan nilai-nilai bagi memupuk kesejahteraan dan kesaksamaan yang dikongsi bersama.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pula berkata, GFIEF akan memberikan kita pemahaman penuh bernilai yang akan membantu
merealisasikan potensi kewangan Islam bagi menangani cabaran ekonomi global.

“Saya yakin wacana mengenai isu-isu penting sepanjang GFIEF ini bukan hanya akan menginspirasikan idea-idea yang berinovatif tetapi juga
tindakan dan iltizam secara kolektif yang akan membuka jalan dan memacu kita ke arah pertumbuhan ekonomi global yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif,” ujarnya. – MalaysiaGazette