Anthony Loke

PUTRAJAYA – Khazanah Nasional Berhad tidak pernah menjual pegangan saham miliknya di dalam Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat berkaitan syarikat pro-zionis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Khazanah hanya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham yang belum dimiliki melalui dua anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Melalui aktiviti ini, Khazanah akan menambah pegangan dalam MAHB, tindakan ini tidak bermakna Khazanah menjual kepentingannya dalam MAHB bahkan Khazanah dan KWSP menambah pegangan dalam MAHB.

“Dakwaan mengatakan Khazanah jual MAHB kepada syarikat asing, itu tidak betul.

“Bila dalam pasaran saham, Khazanah campur KWSP hanya 40 peratus selepas konsotium ini ambil secara swasta, Khazanah dan KWSP akan tubuhkan konsortium dan mereka akan menguasai majoriti saham dalam MAHB,” katanya pada sidang media.

Terdahulu Anthony mempengerusikan Mesyuarat National Logistik Task Force (NLTF) Kementerian Pengangkutan di Palm Garden Hotel, iOi Resort hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium itu pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium itu diketuai oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan KWSP.

MAHB berkata, pemegang saham konsortium itu juga terdiri daripada anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners, salah satu pelabur infrastruktur utama dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, langkah Khazanah bertujuan melaksanakan hala tuju MAHB dengan lebih cepat tanpa melalui kelulusan lembaga pengarah yang ada kalanya berbeza padangan dengan kerajaan.

“Apabila ia dibawa sebagai entiti swasta sepenuhnya di bawah Khazanah dan KWSP sebagai aset strategik kerajaan dan negara, maka saya yakin pelbagai keputusan startegik dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. GIP tu milik BlackRock bukan syarikat pro Zionis kaa? BlackRock tu pemegang saham terbesar syarikat2 pembuat senjata yg dihantar oleh USA kpd Israel untuk bom Palestine. Menteri tak payah konar sana sini..jawab jaa…GIP tu syarikat milik Blackrock ker bukan?

Comments are closed.