BANDAR BARU BANGI – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan PALMS 2030, kerangka transformasi baharu bagi memperkukuh daya saing industri sawit negara, mempercepat pendigitalan pengurusan dan pentadbiran serta memperluas kehadiran strategiknya di pasaran global menjelang 2030.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, PALMS 2030 bukan sekadar penjenamaan baharu, sebaliknya anjakan pendekatan yang akan mengubah cara MPOB beroperasi, menerajui industri dan menterjemahkan kekuatan penyelidikan kepada nilai ekonomi untuk rakyat serta negara.
Katanya, MPOB perlu bergerak lebih pantas dan proaktif dengan berada lebih dekat dengan pasaran bagi mengenal pasti serta menangani cabaran industri sebelum menjadi ancaman.
“PALMS 2030 berteraskan lima prinsip utama iaitu Produktiviti, Automasi, Rendah Karbon, Kebolehpasaran dan Kemampanan yang akan diterjemahkan melalui tiga rantaian nilai teras, iaitu Mereformasi Institusi, Menerajui Industri dan Memacu Ekonomi,” katanya dalam ucapan pada Sesi Town Hall bersama warga kerja MPOB di sini.
Badrul Hisham berkata, di bawah agenda Mereformasi Institusi, MPOB menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus proses pengurusan dan pentadbiran didigitalkan menjelang 2030.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mengurangkan birokrasi, mempercepat penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan organisasi dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan industri sawit negara di peringkat antarabangsa, beliau berkata, MPOB akan meneroka pembukaan pejabat serantau secara bersasar di beberapa rantau strategik dunia.
Katanya, langkah itu juga memperkasakan hubungan dengan pasaran, pemain industri, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan antarabangsa.
“Kita mahu MPOB bukan sahaja menjadi pusat rujukan teknologi sawit, tetapi turut menjadi mata dan telinga industri di pasaran strategik dunia.
“Kita juga perlu memahami perubahan peraturan, kehendak pengguna dan perkembangan pasaran sebelum ia menjadi ancaman kepada industri,” katanya.
Antara cabaran yang akan diberi perhatian termasuk pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), selain isu duti anti-lambakan dan duti timbal balas di Amerika Syarikat.
Dalam masa sama, strategi penghiliran industri akan terus diperkasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport komoditi semata-mata serta memperluas penghasilan produk bernilai tambah tinggi seperti oleokimia, nutraseutikal dan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Badrul Hisham menambah, transformasi itu turut melibatkan pemerkasaan di peringkat lapangan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.
Sehubungan itu, peranan Pegawai TUNAS MPOB akan diperkasa melalui lima identiti baharu iaitu Agen Pemindahan Teknologi, Jurulatih Produktiviti, Pemimpin Inovasi, Penghubung Pasaran dan Agen Kemampanan.
Katanya, evolusi peranan itu penting bagi memastikan pekebun kecil bukan sahaja menerima khidmat nasihat teknikal, malah dibimbing meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran, mengakses pasaran dan meningkatkan pendapatan bersih.
Pendekatan itu turut mengintegrasikan pekebun kecil secara lebih langsung ke dalam rantaian nilai melalui Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM), selain memperkukuh pematuhan terhadap Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya, semua Stesen Penyelidikan MPOB akan diperkasa menerusi kerjasama rasmi dengan universiti dan institut penyelidikan dalam serta luar negara.
Kerjasama itu akan memperluas jaringan kepakaran dengan penyelidik dan pemain industri, selain mempercepat perkongsian ilmu, pembangunan teknologi serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
“Penyelidikan yang hebat tidak boleh berhenti di makmal. Ia mesti keluar dari makmal dan memberi nilai sebenar kepada industri, rakyat dan negara.
“Sebab itu, reformasi pentadbiran dan kecemerlangan penyelidikan akhirnya mesti diterjemahkan kepada nilai ekonomi melalui pengkomersialan,” katanya.
Beliau berkata PALMS 2030 dijangka menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, menarik pelaburan langsung asing (FDI), memperkukuh keupayaan teknologi negara serta menyokong keselamatan makanan.
“Apabila kita mereformasi institusi, kita mampu menerajui industri. Apabila kita menerajui industri, kita mampu memacu ekonomi. Dan apabila ekonomi dipacu dengan lebih kukuh, manfaatnya mesti kembali kepada rakyat dan negara.
“Itulah ukuran sebenar kejayaan PALMS 2030,” katanya. – MalaysiaGazette
















