Oplus_0

KLANG – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu bertindak mengunci mulut apabila bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy yang menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu menolak calon Perpaduan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu enggan mengulas mengenai kempen bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang mula berkempen sejak semalam.

“Politik tak payah la kot, saya tak mahu komen apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Simposium Pengembangan Jabatan Pertanian 2024 di sini hari ini.

Semalam, Ramasamy yang juga pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menggesa pengundi Kuala Kubu Bharu menolak Pakatan Harapan (PH).

Ramasamy berkata, ia sebagai pengajaran buat Kerajaan Persekutuan kerana didakwa tidak menunaikan janji kepada rakyat Malaysia.

Menurut Ramasamy, beliau berada di Kuala Kubu Bharu sejak pagi Ahad dan telah berkempen di beberapa tempat termasuk Rasa, Kerling, Batang Kali dan pekan Kuala Kubu Bharu.

Katanya, permintaan Urimai kepada pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mudah iaitu jangan undi PH dan masih banyak lagi pilihan termasuk calon daripada Perikatan Nasional (PN), PRM dan Bebas. – MalaysiaGazette