Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan teknik baharu penipuan yang boleh mengakibatkan penjenayah memperoleh akses terhadap peralatan digital mangsa seterusnya mengakibatkan kerugian wang ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik penipuan terbaharu itu dikesan menerusi hasil perkongsian maklumat dengan polis Singapura.

Katanya, menerusi taktik baharu itu mangsa akan menerima pop-ups mesej melalui komputer atau laptop yang mengandungi amaran bahawa komputer mangsa telah digodam sebelum diarahkan untuk segera menghubungi pasukan sokongan teknikal melalui nombor telefon yang disertakan.

“Apabila mangsa menghubungi nombor sebagaimana diarahkan, penjenayah yang menyamar sebagai kakitangan sokongan Microsoft atau Apple akan memaklumkan peralatan digital mangsa telah digodam dan digunakan untuk melakukan aktiviti haram.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk memuat turun perisian tertentu bagi membolehkan pihak mereka mengawal peralatan digital mangsa secara remote kononnya bagi mengekang aktiviti penggodam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Ramli lagi, mangsa juga akan diminta untuk log masuk ke dalam sistem perbankan online milik mereka kononnya memastikan akaun perbankan mereka berada dalam keadaan selamat.

Namun jelas beliau, selepas mangsa log masuk ke dalam sistem perbankan online miliknya, penjenayah akan menggunakan akses yang telah diperoleh untuk melakukan pindahan wang segera tanpa pengetahuan mangsa.

“Buat masa ini pihak JSJK Bukit Aman sedang membuat semakan sama ada terdapat kes yang dilaporkan di Malaysia berkaitan taktik penipuan baharu sebegini.

“Namun jabatan ini tidak menolak kemungkinan taktik ini boleh menular ke Malaysia apatah penggodam mungkin akan menggunakan taktik sama untuk telefon bimbit.

“Oleh demikian, sebagai langkah awal berjaga-jaga, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil tindakan berikut iaitu sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang perisian yang meragukan,” ujarnya.

Ramli menasihati orang ramai agar uninstall apa jua perisian yang meragukan dan melakukan imbasan anti-virus pada peranti elektronik dan padamkan malware yang dikesan.

Selain itu, beliau turut meminta individu itu segera melaporkan kepada pihak bank dan pihak polis sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan berkaitan akaun bank. – MalaysiaGazette