Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk ketika di Sembang Santai bersama komuniti Madani Hulu Langat di Warung Cendol Pak Samat, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Kerajaan belum memuktamadkan sebarang bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap laporan media antarabangsa apabila mendakwa rundingan sedang dijalankan oleh beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini beliau belum mendapat maklumat terperinci terutama melalui Jemaah Menteri.

“Saya belum dapatkan maklumat terperinci dan kita akan ada mesyuarat Kabinet, esok.

“Mungkin selepas itu, tetapi setakat ini saya belum terima maklumat terkini mengenainya.

“Saya juga difahamkan ada beberapa laporan polis sudah dibuat dan saya belum lihat perinciannya…jadi, mungkin kena tunggu mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut, perdana menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.

Susulan itu,  Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada lesen kasino akan diluluskan kerajaan di Forest City.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, laporan Bloomberg yang memetik sumber mengenai pertimbangan untuk lesen itu sebagai tidak betul.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama beberapa pihak berkaitan diminta segera menyelesaikan isu berkaitan liputan internet berkelajuan tinggi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, ini berikutan terdapat aduan dan rungutan daripada orang ramai yang kurang berpuas hati dengan liputan internet disediakan pihak penyedia perkhidmatan berkenaan.

“Kita sudah membuka kaunter SKMM untuk menerima aduan daripada orang ramai kerana ada aduan mengenai masalah berkaitan liputan internet berkelajuan tinggi.

“Mereka mengadu perkhidmatan (internet) disediakan penyedia perkhidmatan tidak berada pada tahap diharapkan.

“Justeru, saya meminta SKMM bekerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk Komuniti Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada orang ramai di lebih banyak kawasan,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi menasihatkan semua pihak agar bersederhana dan tidak terbawa-bawa dengan emosi ketika berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, perundangan sedia ada tidak membenarkan keadaan sedemikian, terutama yang menyentuh isu berkenaan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

“SKMM akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang, bukannya berpandukan selera sendiri atau nafsu politik kerana mereka adalah badan berkanun dan memiliki akta tersendiri dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Tiada sikap pilih kasih, sesiapa melanggar undang-undang, misalnya menyalah guna rangkaian, boleh diambil tindakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette