Warga kerja di Kuala Lumpur bersesak setiap pagi di stesen LRT untuk ke tempat kerja. Gambar hiasan

Oleh: Dr.Natasya Abdullah dan  Dr.Noor Dzuhaidah Osman 

SEMPENA hari pekerja tahun ini selain isu kenaikan gaji salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam aspek pekerjaan ialah masalah psikososial di tempat kerja.Hari ini kita dikhabarkan berita dari negara jiran kita di Singapura bahawa mereka bakal melaksanakan kerja selama 4 hari seminggu dan juga membenarkan perkerja mereka bekerja dari rumah. Sesetengah tempat kerja di Malaysia juga telah menjalankan usaha yang sama.Perubahan ini sudah tentu berkait rapat dengan usaha mereka untuk memastikan kebajikan pekerja terjaga terutamanya yang terkait dengan isu mental dan psikososial.

Berbeza pula dengan khabar di negara sendiri yang mengatakan bahawa masalah psikososial di tempat kerja semakin meningkat. Hakikatnya perkara ini telah lama berlaku didalam mana-mana organisasi pekerjaan tetapi jarang diperkatakan. Mungkin ianya berkait rapat dengan imej pekerja dan imej majikan. Tentu sekali tidak ada mana-mana organisasi yang mahu dilihat sebagai lemah ataupun memberikan ancaman kepada pekerja mereka. Pekerja pula adakalanya terpaksa berpura-pura, berselindung di sebalik senyuman untuk melakukan kerja yang mereka sendiri tidak suka demi mencari rezeki. Dikala berhadapan dengan tekanan ekonomi, ada pekerja yang lebih sanggup untuk menyembunyikan masalah psikososial yang mereka hadapi dari berhadapan dengan risiko diturunkan pangkat, diberhentikan kerja seterusnya hilang mata pencarian.

Mengikut definisi masalah psikososial di tempat kerja merujuk kepada gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental perkerja yang disebabkan oleh gangguan sosial di tempat kerja. Akibat dari masalah psikososial ini bukan sahaja dapat dilihat kepada individu itu sendiri tetapi juga memberi impak kepada majikan, tempat kerja dan seterusnya kepada masyarakat. Masalah psikososial ini antaranya boleh disebabkan oleh beban kerja yang terlampau, banyak menyebabkan pekerja tidak cukup rehat, tidak ada masa untuk diri sendiri dan keluarga serta tidak ada keseimbangan antara kerja dan kehidupan seharian. Kecanggihan teknologi juga kadangkala menyebabkan ada majikan yang mengambil kesempatan dan melampaui batas dengan menuntut pekerja bekerja tidak kira masa dan tempat. Lebih memburukkan keadaan, pekerja itu sendiri tidak dihargai dan tidak mendapat sokongan dari majikan ataupun rakan sekerja disamping dibayar dengan gaji yang tidak setimpal dengan beban tugas.

Ini bukan sahaja terjadi pada pekerja yang baru melangkah ke alam pekerjaan lalu menjadi tempat melepaskan segala kerja kerana mereka yang ’senior’ telah lama membuat pekerjaan tersebut. Namun pekerja lama yang dikatakan sudah lebih berpengalaman juga menerima nasib yang sama.Ada juga pekerja yang didiskriminasi dengan tidak mendapat imbuhan yang sama dari yang seharusnya dari majikan.Namun demi mencari sesuap nasi hanya mampu berdiam diri, menahan segala duka di hati hanya mampu menadah tangan berdoa pada Ilahi. Hubungan seseorang pekerja dengan rakan sejawat, majikan ataupun pelanggan boleh mempengaruhi kesihatan psikososial pekerja. Ada pekerja yang dibuli, dikasari secara lisan ataupun fizikal, mengalami gangguan seksual sama ada dari organisasi mereka sendiri mahupun ketika berhadapan dengan pelanggan di premis mereka. Segelintir pekerja terpaksa menghadapi diskriminasi dan biokrasi majikan sehingga menyebabkan mereka menjadi trauma dan takut untuk ke tempat kerja.

Seringkali pekerja yang mengalami situasi seperti ini memencilkan diri dan tidak mahu berkomunikasi atau bersosial dengan rakan pekerja lain atau sering mengambil cuti sakit akibat benar-benar sakit atau tekanan perasaan.Jika dikatakan pekerja tersebut mengalami masalah di rumah, tidak mustahil juga mereka mengalami masalah yang sama di tempat kerja walau dinafikan tapi itulah kenyataan alam pekerjaan kini.
Masalah psikososial ini sering berkait rapat dengan risiko kesihatan mental dan fizikal. Ada pekerja yang cuba mengambil jalan mudah melibatkan diri dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, mengambil alkohol berlebihan, penyalahgunaan dadah, makan berlebihan, kurang bersenam dan kurang tidur. Kesan gaya hidup yang tidak sihat ini dapat dilihat dengan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung.

Gejala ‘burnout’ dalam kalangan perkerja seringkali dikaitkan dengan kegagalan untuk mengawal stres yang berkaitan dengan pekerjaan. Mereka yang ’burnout’ akan merasa tidak seronok dan tidak minat untuk melakukan kerja mereka malahan mereka sampai satu tahap tidak peduli dengan apa yang berlaku. Gejala ’burnout’ ini jika tidak dibendung boleh merebak untuk melibatkan gangguan kesihatan mental yang lebih teruk seperti kemurungan, keresahan sehingga seseorang pekerja itu tidak dapat untuk berfungsi seperti biasa. Dari segi perundangan pula Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menyatakan ”Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya”. Ini meletakkan keperluan kesihatan fizikal dan mental kepada majikan untuk mempersiapkan kemudahan tersebut. Seksyen 15 tidak menyatakan secara terperinci tentang apakah keperluan ’keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja’, namun seharusnya kesihatan mental dan psikososial yang merupakan sebahagian dari keselamatan dan kesihatan mental dan fizikal perlu ada perincian kemudahan dan sokongan juga ’standard operating procedure’ (SOP) dalam mengendalikannya.

Ditambah lagi dengan peningkatan kes-kes kemurungan dan bunuh diri akhir-akhir ini yang tidak kira agama dan bangsa terutamanya selepas pandemik berkaitan tempat kerja, jika hal ini tidak ditangani ianya akan bertambah meruncing.Walaupun dikatakan tidak banyak kes psikososial yang dilaporkan ini bukan menunjukkan tahap keseriusan yang sebenar kerana banyak perkara mendorong untuk perkara ini tidak dilaporkan terutamanya keadaan persekitaran tempat kerja itu sendiri seperti maruah dan nama baik, kerahsiaan, unsur balas dendam dan sebagainya. Akses kepada kesihatan mental tidak mencukupi dari segi kemudahan di tempat kerja juga dari sudut perundangan yang tidak jelas. Perlu ada dasar yang jelas tentang masalah psikososial dan kesihatan mental di tempat kerja.

Pekerja sebagai sumber tenaga seharusnya dihargai sumbangan mereka sebagai manusia bukan sahaja digunapakai tenaga dan kepakaran sebagai pekerja yang tidak ada hati dan perasaan.Jika semua pekerja berkerja dengan suasana persekitaran yang gembira dan tidak toksik dan tiada diskriminasi maka mereka akan lebih produktif yang akan memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada institusi, masyarakat dan negara.Mereka bukan sahaja pekerja tetapi mereka juga anak, ibu dan ayah kepada keluarga mereka.Mereka bukan sahaja mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan keluarga yang sukar digantikan dalam keluarga mereka tetapi mereka juga menabur bakti walau kelak posisi mereka mungkin mudah atau sukar dicari galang ganti. Selamat Hari Pekerja!

Kedua-dua penulis merupakan Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia