Oleh: Dr. Mohd Salim Mohamed

BARU-baru ini satu drama mengenai khunsa telah ditayangkan di kaca televisyen bermula bulan Ramadan yang lepas. Drama ini membawa mesej yang mendalam tentang hakikat seorang individu khunsa menghadapi rintangan kehidupan yang sukar akibat tindakan drastik si ayah ketika beliau masih bayi. Kisah ini sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai interseksualiti atau umum mengenalinya sebagai ‘khunsa’.

Khunsa merujuk kepada “intersex”, “pseudohermaphroditism”, “hermaphroditism”, dan “sex reversal” atau istilah perubatannya iaitu kelainan perkembangan seksual “(differentiation of sex development” atau “disorders of sex development”(DSD)). Pemahaman masyarakat Malaysia mengenai hakikat interseksualiti masih agak sempit dan kadangkala terkhilaf dengan menyamakannya dengan transeksualiti atau kecelaruan jantina sosial seperti mak nyah, pondan dan lelaki lembut. Malah, istilah yang diperkenalkan sejak 1999 iaitu “LGBTIQ” (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Intersex, Questioning) yang turut memasukkan kategori interseks ke dalam kelompok LGBT tersebut sebenarnya membawa kepada kekeliruan kerana interseksualiti tidak merujuk kepada orientasi seksual berbeza tetapi satu kondisi semula jadi yang signifikan dalam bidang perubatan dan juga agama.

Di samping itu, pemahaman mengenai khunsa dalam masyarakat umum turut disempitkan dengan hanya merujuk kepada individu yang mempunyai dua organ seksual semata-mata. Hakikatnya spektrum interseksualiti adalah luas, sebagai contoh, isu Congenital adrenal hyperplasia (CAH) dan androgen insensitivity syndrome (AIS) yang lebih rumit. CAH dialami oleh individu yang mempunyai karyotip 46,XX iaitu (perempuan biologikal). CAH merupakan satu gangguan resesif autosom (autosomal recessive disorder) yang menyebabkan penghasilan hormon androgen yang tinggi seterusnya mengakibatkan maskulinisasi fizikal seorang perempuan terutamanya terhadap organ genital.

Dalam beberapa kes, keadaan ini lazimnya menyebabkan bayi CAH yang baru dilahirkan, dianggap sebagai bayi lelaki. Kategori seterusnya adalah androgen insensitivity syndrome (AIS). Kondisi ini melibatkan individu yang memiliki karyotip 46,XY (lelaki biologikal). Bayi AIS memiliki organ genital luaran yang menyerupai vagina (tetapi tidak memiliki uterus dan ovari) dan akan mempamerkan ciri-ciri fizikal luaran seperti seorang wanita apabila memasuki usia baligh. Kedua-dua kondisi ini boleh menyebabkan kekhilafan dalam penentuan jantina ketika bayi.

Perkembangan teknologi perubatan sejak tahun 1960an telah mewajarkan pembedahan penentuan jantina (PPJ) terhadap bayi interseks dilakukan seawal usia dua tahun. Protokol PPJ ini berdasarkan satu teori perkembangan jantina yang menyatakan “identiti jantina seseorang lebih dipengaruhi persekitaran sosial berbanding aspek biologikal atau semulajadi.” Berhubung teori tersebut, kebanyakan pakar perubatan pada masa itu bersetuju bahawa individu interseks yang telah ditentukan jantinanya semasa pembedahan serta telah menerima asuhan dan didikan yang berkesan daripada ibu bapa akan menunjukkan hasil yang positif. Ini bermakna, mereka mampu mengenalpasti identiti jantina mereka dan menjalani kehidupanan heteroseksual dengan baik.

Sehinggalah pada akhir tahun 1990an, keutuhan teori ini walau bagaimanapun telah digugat menerusi satu artikel oleh Diamond dan Sigmudson yang mendedahkan seorang individu interseks di Kanada telah menolak penentuan jantina beliau sebagai seorang perempuan ketika bayi dan telah memilih untuk hidup sebagai seorang lelaki ketika dewasa, walaupun PJJ terhadapnya pada masa lalu dianggap berjaya. Fakta penting ini telah mendorong persoalan-persoalan seperti; “Adakah penentuan jantina hanya berdasarkan kepada organ reproduktif atau karyotip (kromosom) semata-mata?”, “Bagaimana menentukan kriteria yang manakah lebih tepat?”, “Adakah kita dapat menentukan jantina berdasarkan kombinasi faktor-faktor tersebut?” dan “Siapa pula yang dapat menentukan jantina dan dalam konteks bagaimana jantina seseorang dapat ditentukan?”

Justeru, proses penentuan jantina bagi bayi interseks tidak semudah yang disangka dan memerlukan lebih daripada sekadar pertimbangan perubatan, sosial dan psikologi. Malah, berdasarkan kepada persoalan-persoalan di atas, pertimbangan agama dilihat sangat signifikan kerana ia melibatkan kehidupan seseorang individu daripada segenap aspek, bukan sahaja dari segi kehidupan peribadi, tetapi juga kehidupan bermasyarakat. Malah, tidak keterlaluan untuk menyifatkan bahasa keperluan memiliki satu jantina yang diiktiraf masyarakat adalah satu kehendak hakiki setiap manusia. Isu yang kompleks harus ditanganidengan cara yang holistik agar penyelesaian menjadi lebih berkesan dan praktikal. Drama ini akan bersambung ke musim kedua dan semoga ia digarap sempurna bagi memberi pendedahan dan pengajaran sewajarnya kepada masyarakat. Tahniah kepada ahli-ahli produksi drama Khun:sa kerana berjaya mengetengahkan isu yang selama ini dipandang sepi.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan bidang bioetika di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here