Anthony Loke, hadir ke rumah Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ampang Pecah Saudara Amir Ali dan menanda tangani buku lawatan di Taman Tanjak, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 1 MAY 2024.

HULU SELANGOR – DAP menyifatkan, bekas  Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy sebagai seorang yang tidak mempunyai hala tuju selepas meminta pengundi India memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendakwa, Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu sebagai individu yang berpolitik berasaskan dendam selepas tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya sebelum ini.

Katanya, Ramasamy bebas untuk berkata apa sahaja, namun, beliau yakin rakyat Malaysia bijak untuk menilai dan mengundi.

“Dia kata jangan undi PH, jadi apa alternatif dia. He doesn’t have alternatif (dia tak punya alternatif), maknanya orang ini dia berpolitik atas dendam sahaja, dia dendam pada DAP, dendam pada PH sebab tidak dicalonkan semula,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ramasamy yang menggesa agar masyarakat India memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu baharu, pada 11 Mei ini.

Sebelum ini Ramasamy menggesa Perikatan Nasional (PN) menamakan calon dalam kalangan kaum India untuk PRK KKB.

Mengulas lanjut, Anthony percaya, rakyat Malaysia bijak untuk menilai dan mengundi.

Oleh itu, katanya, Ramasamy tidak perlu membangkitkan soal boikot itu, sebaliknya, menyatakan secara jelas siapakah calon alternatif yang wajar dipilih oleh pengundi KKB.

“So, orang macam ini tak perlu jawab banyaklah, kita nak kerja, kita nak berkempen untuk memberikan penerangan kepada semua masyarakat apa yang kita nak lakukan sebagai kerajaan negeri.

“Sebab sekarang PH (ada calon) Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN yang mewakili DUN. Jadi, apabila dipilih dia adalah wakil rakyat kerajaan negeri.

“Jadi, apa wakil rakyat kerajaan negeri nak buat di kawasan ini, macam mana nak bantu rakyat itu yang kita nak bahaskan dan bincangkan di pilihan raya kecil.

“So, orang yang tiada hala tuju, kalau kita ikut dia, kita pun tiada hala tujulah kita pun sesat,” ujarnya. – MalaysiaGazette