Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap pada Sidang Media mengenai perkembangan semasa jenayah komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,106 kes jenayah komersial telah direkodkan sejak Januari hingga 28 April lalu melibatkan kerugian lebih RM866 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah  tersebut bersamaan dengan purata 85 kes sehari.

Menurutnya, kes tahun ini mencatatkan penurunan 8.2 peratus namun nilai kerugian meningkat sebanyak 62.1 peratus.

“Berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 10,931 kes dan nilai kerugian RM534,393,834,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebanyak 4,880 kertas siasatan dibuka dan dituduh di mahkamah untuk tempoh yang sama.

“Jumlah ini adalah bersamaan 48 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2024.

“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,598 pertuduhan atau bersamaan 42 peratus,” jelasnya. – MalaysiaGazette