Reaksi penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir pada sidang media mengenai video yang tular petang semalam di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 17 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kader untuk mendapatkan injunksi terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Abdul Wahab memohon untuk perintah mahkamah bagi menghalang Badrul Hisham daripada mengeluarkan kenyataan berhubung rakaman video mengandungi perbualan lucah dengan individu mirip bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff.

Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain memutuskan untuk menolak permohonan selepas pemohon gagal membuktikan wujud sebarang risiko Badrul Hisham akan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

“Plaintif gagal memuaskan keperluan dan mematuhi kehendak yang ketat mengikut Aturan 29 Kaedah 1(2A), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012,” katanya pada prosiding hari ini.

Selain itu, Roz Mawar memerintahkan Abdul Wahab membayar kos RM10,000.

Mahkamah juga menetapkan tarikh perbicaraan kes saman fitnah itu selama tiga hari bermula 2 September 2025 dan pengurusan kes lanjut pada 3 Julai ini.

Abdul Wahab memfailkan saman terhadap Chegu Bard yang mana antara lain beliau menuntut ganti rugi RM5 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta permohonan maaf secara terbuka daripada Badrul Hisham yang Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu pada hujung tahun lepas.

Abdul Wahab mendakwa, defendan telah mengedar dan mendedahkan pernyataan fitnah dalam bentuk video melalui Facebook atas nama Che GuBard Official untuk tuntutan umum yang turut memaparkan dirinya terlibat dalam aktiviti tidak bermoral atau homoseksual.

Sebelum ini, rakaman video selama tiga minit di Facebook yang tular sejak 17 November 2023 di media sosial memaparkan individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.

Insiden ini juga menyebabkan Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM. – MalaysiaGazette