Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bercakap pada program Ceramah Mega Perpaduan PRK N.06, di Bandar Utama Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) menjangkakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) akan semakin ‘menggila’ menyerang Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari berkata, pemimpin PN tidak dapat menerima hakikat  pentadbiran kerajaan persekutuan sekarang lebih baik berbanding ketika waktu pemerintahan parti tersebut.

“Jangkaan saya selepas mereka mula gagal sekarang ini mereka akan makin menggila. Sebab apa mereka makin menggila? Kerana mereka adalah orang yang tak boleh move on daripada kesilapan yang mereka lakukan iaitu mencipta ketidakstabilan politik dalam negara kita.

“Bila mereka lihat pelaburan makin pulih, pelaburan semakin masuk hanya ringgit terpaksa bersaing dengan dollar Amerika tetapi banyak perkara makin pulih, sebab itu mereka hanya sebut nak tukar kerajaan.

“Melalui kestabilan yang telah ditunjukkan ini, kita boleh bentang dasar perubahan tenaga, dasar perindustrin baru. Selangor dapat menarik pelaburan semikonduktur dan tawaran pelaburan lebih RM2 billion dalam tempoh empat bulan,” kata Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Tambah Amirudin, PN juga tidak dapat menerima hakikat  kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH terutama DAP semakin baik.

“Sebab itu nasihat saya pada mereka terima kenyataan. Kalau salah minta maaf dan move on. Ini masalah orang bercerai tak nak bercerai. Gila talak.

“Sebab itu dia cakap (persoalkan) kenapa BN bersama DAP. BN sudah dua tahun dengan DAP tak ada masalah pun. Yang kamu nak menangis kenapa? Gila talak kenapa?

“Lepas tu marah pula PH kenapa bekerjasama dengan BN. Kamu yang lari kita pula kena marah. Kamu nak apa sebenarnya?” soal beliau.

Amirudin berkata, kempen pembangkang dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu juga berubah-ubah serta cuba memainkan sentimen membangkitkan kemarahan rakyat tanpa bukti dan fakta.

“Kalau jadi pembangkang tetapi bukan nak bangkang semua benda. Lihat sebelum penamaan calon, kemudian selepas penamaan calon kempen PN melompat-lompat, agaknya suka lompat parti.

“Mula-mula kata nak tukar kerajaan kemudian nada berubah, kata ekonomi Selangor dizalimi kerana keluarkan belanjawan defisit…dia main sentimen tak guna data,” katanya.-MalaysiaGazette