Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan keputusan penimbang tara ‘penyangak’ Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah.

Keputusan tersebut dibuat semalam itu sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Jenayah Madrid pada 22 Disember tahun lalu yang mengenakan hukuman penjara enam bulan terhadap Stampa.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Mahkamah Rayuan Madrid mengesahkan Stampa secara sedar dan sengaja mengingkari ketetapan dan perintah jelas Mahkamah Tinggi Madrid akibat pembatalan pelantikannya sebagai penimbang tara.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan penting ini sebagai kemenangan penting bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian timbang tara antarabangsa sebagai bentuk alternatif penyelesaian pertikaian. Ia mengesahkannya.

“Sekali lagi, penipuan Sulu dimungkinkan oleh tingkah laku jenayah seorang penimbang tara yang penyangak. Oleh itu, Malaysia juga yakin bahawa kemenangan ini akan menjadi penghalang selanjutnya kepada tindakan buruk yang dilakukan oleh pelaku penipuan Sulu,” kata Azalina dalam kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen dan keazaman teguh dalam melindungi kedaulatan Malaysia.

Pada 25 Mei 2020, Stampa telah mengeluarkan Award Akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Bagi menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Malaysia yang mempunyai keyakinan penuh dan tidak berbelah bagi terhadap sistem keadilan Sepanyol telah memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya untuk membeli forum di negara lain.

Pada 11 Disember tahun lepas, mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dan kerajaan Malaysia telah menggesa Mahkamah Madrid agar menjatuhi hukuman penjara ke atas Stampa.

Sebelum ini, lapan warga Filipina telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.

Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Anwar telah secara agresif membuat tuntutan balas terhadap kelapan-lapan individu.

Malaysia telah melakar kejayaan bersejarah dalam pertikaian berpanjangan itu apabila mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan di Perancis serta Mahkamah Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada negara ini. – MalaysiaGazette