Foto Instagram Caprice.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada penyanyi rap, Caprice mempersoalkan pihak yang mengecamnya kerana membiarkan individu yang menghina anaknya memohon maaf sambil berlutut.

Ujar Fara Inalis atau mesra disapa Elis, tindakan lelaki dikenali sebagai Irfan menggelar bayinya, Airiel Qashaf sebagai haiwan lebih teruk berbanding keputusannya menyuruh lelaki itu melutut di hadapannya.

“Ramai rupa-rupanya netizen bercita-cita nak jadi ustaz dengan ustazah. Sebab itu ramai yang berceramah.

“Kalian bising sangat fasal isu melutut itu, apalah sangat melutut dengan apa yang pernah dia cakap dekat anak aku,” katanya menerusi Instagram Story.

Elis menegaskan, dia tidak akan membenarkan orang lain sewenang-wenangnya menghina anak yang baru berusia dua bulan itu sesuka hati.

Kata wanita berusia 29 tahun itu, tiada ibu yang sanggup melihat cahaya mata dimaki selepas bertarung nyawa melahirkan zuriat.

“Aku berjuang sehabis daya sampai nak putus nyawa beranak, bukan senang tau. Tak sampai 40 hari, senang-senang nak dajalkan anak aku. Cakap anak muka hisap ‘batu’, muka macam khinzir.

“Ibu mana boleh tahan, mana aku nak cari kesabaran aku? Setinggi mana iman kau. Kau boleh sabar macam mana kalau orang cakap anak kau macam itu?” soalnya.

Semalam, seorang lelaki dibawa berjumpa dengan isteri Caprice, Farra Inalis untuk memohon maaf selepas mengeluarkan kata-kata hinaan kepada anak mereka.

Dalam rakaman yang dikongsikan, Farra dilihat sedikit beremosi sebelum meminta individu terbabit melutut di hadapannya.

Bagaimanapun, tindakan Farra telah menerima kecaman netizen dengan menyifatkan tindakan dilakukan sebagai melampau.

Caprice dan Farra mendirikan rumah tangga pada November 2022. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Airiel Qashaf yang dilahirkan pada Mac lalu.

Farra juga mempunyai seorang cahaya mata perempuan bernama Aleesya Sofea hasil perkahwinan sebelumnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kutuk anak Caprice seperti binatang, Irfan melutut mohon maaf