KUALA LUMPUR – Isteri penyanyi dan aktivis Caprice, Fara Inalis atau Elis meluahkan rasa marah kepada lelaki dikenali sebagai Irfan yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menyamakan wajah anaknya, Airiel Qashaf seperti binatang baru-baru ini.
Bukan sahaja kesal lelaki tersebut yang dibawa sendiri oleh Caprice ke rumahnya turut melutut meminta maaf di hadapan Elis atas ketelanjuran kata-katanya tempoh hari.
“Kau nak minta maaf, kau ikut cara aku. Aku nak kau melutut kau mintak maaf dengan aku dan anak aku,” katanya penuh emosi dalam perkongsian video oleh Caprice malam tadi.
Namun suaminya itu dilihat lebih tenang mengendalikan situasi turut memberi dua pilihan kepada Irfan sama ada mahu menyelesaikan perkara ini di balai polis atau di masjid.
Tidak berfikir panjang, Irfan memilih untuk pergi ke masjid sebelum menunaikan solat bersama.
“Kita ada dua pilihan untuk selesaikan masalah ini. Sama ada kita pergi balai polis atau kita pergi masjid. Mana satu pilihan awak?” ujarnya.
Caprice turut menghulurkan sejumlah wang kepada Irfan untuk diberikan kepada ibunya sebagai duit raya.
Sebelum ini, Caprice atau Ariz Ramli, 36, mendedahkan beberapa tangkap layar kiriman mesej yang diterima daripada seorang remaja yang menghina anak lelakinya.
Berang dengan perkara tersebut, isterinya turut meminta orang ramai mencari lelaki tersebut untuk menuntut kemaafan kerana menghina anaknya. – MalaysiaGazette