Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berteka-teki tentang status perkhidmatan beliau sama ada disambung atau ditamatkan.

Beliau bagaimanapun berkata, tempoh perkhidmatannya masih berbaki sehingga 12 Mei ini.

“Itu (status kontrak) wallauaklam, saya tak mahu buat apa-apa spekulasi.

“Saya ada masa lagi sehingga 12 Mei iaitu hari lahir saya.

“Sesiapa yang nak bagi hadiah hari jadi pada hari itu boleh (berbuat demikian),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984.

Jawatan pertama Azam di badan itu adalah penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette