Tidak dapat menahan sebak, adik lelaki mangsa Allahyarham Md Rizal Atan berpelukan pada Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024

KUALA LUMPUR – “Saya ralat kehilangan Uda sebab abang saya itu tidak sakit apa-apa, tiba-tiba dia pergi macam itu sahaja”.

Itu luahan adik bongsu Allahyarham Md Rizal Atan, 47, mangsa yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini semalam.

Adik mangsa, Shahrizan Atan.

Menurut Sharizan Atan, 38, abangnya yang mesra disapa Uda itu sentiasa mengambil berat perihal adik beradiknya yang lain selain seorang penyayang malah turut disenangi majikan serta rakan sekerjanya.

“Saya maklum mengenai berita pokok tumbang di Kuala Lumpur semalam sebab sudah tular tetapi saya tidak sangka yang terkorban itu abang saya.

“Sebelum itu, saya dimaklumkan (semalam) ada polis datang ke rumah lama arwah di Manjung, Perak untuk cari waris tetapi tiada orang di rumah kerana alamat MyKad di sana.

“Kemudian jiran telah menelefon anak arwah yang kemudiannya menelefon saya. Sebaik terima khabar itu, saya minta semua ahli keluarga bertenang dahulu.

“Sementara itu, saya akan cuba sahkan terlebih dahulu sama ada betul atau tidak itu abang saya dengan pegawai yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Ahli keluarga yang hadir diberi penghormatan terakhir untuk melihat wajah Allahyarham Md Rizal Atan sebelum dikebumikan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 Shah Alam, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024

Tambah Shahrizan, pada hari kejadian, allahyarham  dalam perjalanan untuk menjemput seorang tetamu yang sedang menunggu di sebuah hotel di ibu kota.

“Pada waktu itu, jalan sangat sesak sebab hujan lebat. Selepas kemalangan, kami sekeluarga dan majikan cuba hubungi abang tetapi telefon tidak berangkat.

“Majikannya cakap, Md Rizal tidak pernah lambat tetapi pada petang itu, semua orang tidak dapat telefon Uda. Rupanya, telefon arwah sudah pecah disebabkan kemalangan tersebut,” jelasnya.

Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu dikatakan seringkali mengambil berat tentang kesihatan bapanya yang berusia 71 tahun selepas diserang sakit jantung.

Menurut Shahrizan lagi, abangnya itu telah meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata yang berusia antara 19 tahun hingga lima tahun.

BACA: Jenazah mangsa pokok tumbang selamat dikebumikan

“Dia adalah abang nombor tiga daripada lima beradik. Kami semua lelaki jadi kami sangat rapat. Apa-apa mengenai urusan keluarga, kami akan berbincang.

“Semasa menguruskan ayah yang sedang sakit, abanglah yang banyak membantu macam sediakan kerusi roda dan pengangkutan untuk ayah kerana dia merupakan seorang pemandu peribadi,” ujarnya sebak.

Shahrizan berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika majlis Hari Raya Aidilfitri lalu dan kenduri doa selamat buat ayahnya pada Jumaat lalu.

Malah beliau juga masih ralat dan tidak menyangka abangnya yang seorang periang telah pergi sekelip mata tanpa ada sebarang petunjuk.

“Pada waktu itu, abang saya demam. Dia nampak penat sebab banyak menguruskan hal berkenaan bapa saya di Hospital Shah Alam.

“Pada hari raya lepas pun allahyarham ada berjumpa dengan keluarga tetapi dia tidak banyak bercakap sebab kami sekeluarga faham keadaan bapa kami yang masih sakit.

“Saya masih terkejut kehilangan abang dalam sekelip mata, ayah pun pernah kata sebelum ini kalau apa-apa biar ayah pergi dulu tapi sekarang ini anak dia yang pergi dulu tanpa dijangka. Jadi saya ralat dekat situ,” katanya.

Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Al- Ehsan, Seksyen 24, Shah Alamdan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas seusai solat Zohor hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ribut: Lelaki maut ditimpa pokok di Jalan Sultan Ismail