Anggota bomba dan DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas kereta dan landasan monorel berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 46 tahun maut ditimpa pokok dalam kejadian ribut di hadapan Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang sama, seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan cedera.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Amiruddin Mohd Hassan, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang, tadi.

“Kami telah menerima laporan mengenai kejadian pokok tumbang yang telah menghempap 17 buah kenderaan, landasan monorel dan fasiliti awam.

“Sejurus menerima panggilan, seramai 20 anggota bomba dari balai bomba Hang Tuah,  Jalan Tun Razak dan Titiwangsa telah segera ke lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya.

Operasi kerja-kerja menyelamat serta mengenal pasti jika ada mangsa yang masih terperangkap dan aktiviti pembersihan kini sedang giat dilakukan oleh anggota bomba.

Mangsa yang cedera dalam kemalangan itu juga telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette