Halim.

BUKIT MERTAJAM – Bapa kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim menyifatkan anaknya seorang peramah dan tidak bermusuh dengan sesiapa.

Menurut Halim Saad, 60, kejadian yang menimpa Faisal sesuatu yang mengejutkan keluarga dan keadaannya kini menunjukkan perkembangan positif.

“Rasa-rasanya dia (Faisal) tak ada musuh dengan sesiapa sebab dia tak pernah nak berselindung diri atau lari daripada orang.

“Nak kata dia diperlakukan sedemikian kerana cemburu, saya tak rasa pun.. tambahan pula dia   berperwatakan seperti iaitu saya kelakar serta peramah.

“Apa-apa pun saya harap semua orang terus berdoa agar anak keempat saya itu sembuh seperti sedia kala sekali gus dia mampu meneruskan kariernya,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Bacaan Yasin dan doa selamat diadakan di Homestay Mengkuang Titi.

Terdahulu Halim bersama kira-kira 200 penduduk termasuk barisan kepimpinan kelab bola sepak DNA Faisal Halim mengadakan bacaan Yasin serta doa selamat di Homestay Mengkuang Titi di sini malam tadi. 

Mengulas lanjut, Halim berkata, anaknya masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor dan ditemani isterinya.

“Ketika ini hanya menantu (isteri Faisal) saya dibenarkan bagi mengelak daripada sebarang jangkitan selain kami tidak mahu mengganggu emosinya kerana lebih ramai masuk makin banyak persoalan perlu dijawab.

“Semua perkembangan mengenai Faisal hanya dimaklumkan oleh menantu selain laporan berita di media sosial,” katanya.

Ketika diminta mengulas ada yang menyifatkan kejadian itu sebagai kifarah, Halim dan keluarga reda dengan insiden yang menimpa Faisal dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.

“Walaupun orang anggap ini sebagai kifarah kepada Faisal, saya terima dan reda..kita orang Islam cuma saya harap orang yang niat menyerangnya itu moga diberi hidayah Allah serta dibukakan pintu hatinya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tunggak Harimau Malaya, Faisal Halim mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan selepas diserang individu tidak dikenali menggunakan asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara pada Ahad lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan selesai menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam.

Faisal juga dilaporkan menjalani satu lagi pembedahan dalam usaha memastikan kesihatannya berada dalam keadaan stabil. – MalaysiaGazette