Sunday, June 16, 2024
Home Sukan Anak dibenar lawat Faisal dari jarak jauh

Anak dibenar lawat Faisal dari jarak jauh

Faisal Halim. Foto FB Selangor FC.
KUALA LUMPUR – Pemain Selangor FC, Faisal Halim berada dalam keadaan baik selepas dia semakin menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberitahu, doktor juga membenarkan anak-anak Faisal melawat pemain itu dari jarak jauh untuk meningkatkan motivasinya yang sudah hampir dua minggu dirawat di hospital.
Beliau berkata, malah pemain sayap itu juga diberi peluang menikmati hidangan Ayam Penyet selain berasa terharu dengan keprihatinan semua pihak yang mendoakan kesihatannya.

“Lebih kurang tiga hari lalu, doktor sudah beri kebenaran lawatan daripada anaknya. Saya percaya semalam dia juga sudah menikmati Ayam Penyet,” katanya kepada media hari ini,

Selepas menjalani pembedahan ketiga, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan sebelum ini bintang Selangor itu turut mengidam nasi kandar.

Dalam perkembangan lain, Shahril turut berkongsi Faisal sudah berhubung dengan rakan sepasukannya yang kini dalam persiapan untuk berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.

Namun Shahril mahu pemain Harimau Harimau Malaya itu kekal fokus kepada proses pemulihannya terlebih dulu sebelum memikirkan tentang bola sepak. – MalaysiaGazette