Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia hanya selangkah lagi untuk meraih gelaran keduanya musim ini selepas mengesahkan kemaraan ke final Terbuka Australia, sebentar tadi.

Pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan pemain meningkat naik dari Taiwan, Lee Chia Hao 10-21, 21-15, 21-10 pada aksi separuh akhir di Sydney Olympic Park.

Ia adalah kemenangan ketiga Zii Jia ke atas Chia Hao dari enam pertemuan.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Zii Jia mara ke final musim ini selepas muncul juara Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia, bulan lalu.

Bekas juara seluruh England itu akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka dengan pemain Taiwan, Lin Chun Yi bagi perebutan gelaran juara, esok.

Sementara itu, beregu lelaki meningkat naik negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian terpaksa akur tersingkir di separuh akhir selepas tunduk di tangan pilihan pertama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 9-21.

Meskipun gagal ke final, pencapaian ke separuh akhir adalah yang terbesar dalam kerjaya mereka sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu mengambil kira saingan Terbuka Australia bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast