WASHINGTON – Lionel Messi menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan gol ketika Argentina bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Guatemala 4-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di sini pada Jumaat.
Lisandro Martinez menghadiahkan gol pendahuluan kepada Guatemala pada minit keempat dalam aksi di Commanders Field apabila dia secara tidak sengaja menjaringkan gol sendiri susulan sepakan percuma berbahaya oleh Oscar Santis.
Juara dunia itu menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian menerusi Messi, menurut Xinhua.
Argentina kemudiannya bangkit mendahului sebelum separuh masa melalui Lautaro Martinez, yang menyempurnakan sepakan penalti.
Skuad ‘Albiceleste’ seterusnya mendominasi perlawanan dan Martinez menambah kelebihan pasukannya dengan menyudahkan hantaran Messi.
Messi melengkapkan kemenangan bergaya Argentina dengan jaringan 13 minit sebelum perlawanan tamat hasil bantuan gol Angel Di Maria.
Perlawanan itu merupakan aksi pemanas badan terakhir Argentina sebelum kejohanan Copa America di Amerika Syarikat.
Sebagai juara bertahan, Albiceleste akan mula mempertahankan kejuaraan dimenangi pada 2021 dengan aksi menentang Kanada pada 20 Jun sebelum turut menghadapi Chile dan Peru dalam peringkat kumpulan. – BERNAMA-XINHUA