ISKANDAR PUTERI – Johor menarik pelaburan asing langsung (FDI) sebanyak RM31 bilion pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, Johor merekodkan pelaburan domestik langsung (DDI) berjumlah RM12.054 bilion untuk tempoh sama.

“Daripada 751 projek pelaburan yang telah diluluskan, ia telah mewujudkan  19,053 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Berdasarkan keseluruhan pelaburan yang direkodkan tahun lalu, sektor perkilangan menjadi penyumbang tertinggi dengan merekodkan pelaburan berjumlah RM14.617 bilion bersamaan 33.95 peratus,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisanHahasrin Hashim (BN-Panti) yang bertanyakan pelaburan baru dari dalam dan luar negara pada tahun lalu hingga kini.

Ting Han yang merupakan Ahli Dewan Undangan Paloh berkata, FDI bagi sektor perkilangan adalah RM9.434 bilion bersamaan 64.54 peratus dengan sumber utama pelaburan asing.

Katanya, DDI sektor perkilangan pula adalah RM5.183 bilion bersamaan 35.46 peratus.

“Sub-sektor utama sektor perkilangan bagi tahun lepas adalah elektrikal dan elektronik (37 projek, RM4.580 bilion), jentera dan peralatan (14 projek, RM2.464 bilion) serta kimia dan produk kimia (22 projek, RM1.614 bilion).

“Penyumbang  kedua tertinggi kepada pelaburan tahun lalu ialah sektor perkhidmatan yang menyumbang RM28.435 bilion.

“FDI bagi sektor perkhidmatan adalah RM21.568 bilion bersamaan 75.85 peratus di mana sumber utama pelaburan asing adalah Singapura, China dan Korea Selatan manakala jumlah DDI sektor perkhidmatan adalah RM6.867 bilion,” katanya. -MalaysiaGazette