Dr Ummi Kalthom Shamsudin

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan laporan kejadian wabak keracunan yang berlaku susulan Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak melibatkan 30 sekolah rendah pada 8 Jun lalu meragut dua nyawa.

Pengarahnya, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, hasil siasatan mendapati seramai 247 orang terdedah manakala 82 daripadanya mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi yang dibekalkan oleh guru dan urus setia program.

Jelasnya, makanan disediakan oleh pengendali daripada luar.

“Keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Ummi Kalthom berkata, remaja lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur satu tahun tujuh bulan meninggal dunia tanpa menerima rawatan daripada mana-mana fasiliti kesihatan.

“Kedua-duanya telah memakan makanan disyaki yang dibawa pulang oleh ahli keluarga,” katanya lagi.

Menurut beliau, JKNS masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan ini telah dijalankan.

Holding sample makanan yang diambil pada hari kejadian telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian keracunan makanan tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Ummi Kalthom meminta agar individu terlibat yang mengalami gejala agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.

Hari ini dilaporkan, polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki dan kanak-kanak perempuan akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, mangsa telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan pada Sabtu lepas.

Selepas memakan makanan tersebut, remaja lelaki serta ibu bapanya telah mengalami cirit-birit dan pada 1.30 tengah hari semalam mangsa tidak sedarkan diri.

Sementara itu, mangsa kedua yang merupakan kanak-kanak perempuan pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi semalam.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KKM siasat kes keracunan makanan program di Sungai Cincin

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here