Mohamad Zulfithri Mohd Johari

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membawa tiga perkara untuk dibincangkan dengan pihak pengurusan universiti itu termasuk prebet sapu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zulfithri Mohd Johari berkata, dua lagi perkara yang akan turut dibawa iaitu permintaan terhadap kekerapan pergerakan bas ke kediaman pelajar serta isu kekurangan rumah sewa untuk pelajar.

Tiga perkara tersebut menjadi intipati utama yang perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan universiti memandangkan ia sering dibangkit oleh pelajar-pelajar setiap kali diadakan pertemuan.

“Banyak sebenarnya isu yang mereka bangkitkan tetapi, tiga isu inilah yang peru diberikan perhatian terlebih dahulu.

“Kita akan bincang isu berkenaan dengan pihak pengurusan universiti dalam masa terdekat. Ia sering menjadi topik yang acap kali di bawa oleh mereka setiap kali perjumpaan diadakan.

“Lagi pun, ia melibatkan isu kebajikan pelajar yang mana perkara berkaitan prebet sapu memang sangat diharapkan, kerana ia dapat membantu pelajar meneruskan kelangsungan hidup di kampus dalam situasi ekonomi yang sangat mencabar ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohamad Zulfithri, perkhidmatan prebet sapu sememangnya menjadi permintaan dalam kalangan pelajar yang tidak memiliki kenderaan sendiri di USIM kerana tambangnya murah.

Katanya, MPP USIM juga sedang mengusahakan untuk membawa masuk aplikasi berkaitan prebet sapu ini yang dipanggil Lyftme.

Beliau berkata, aplikasi itu telah pun digunakan oleh pelajar yang menjadi prebet sapu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

“Bayangkan kalau pelajar hendak pergi ke stesen keretapi berdekatan USIM ini menggunakan perkhidmatan e-hailing, mereka kena membayar tambang sehingga RM30.

“Tapi, jika mereka mengunakan perkhidmatan Lyftme ini mereka hanya perlu membayar antara RM10 hingga RM12 sahaja,” ujarnya.

Isu prebet sapu menjadi salah satu daripada perkara yang sering disebut-sebut dalam kalangan pelajar yang memiliki kenderaan sendiri di USIM.

Rata-rata mereka mahu menjadikan perkhidmatan itu sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menyara hidup di universiti tanpa mahu membebankan keluarga.

Meskipun perkhidmatan prebet sapu ini menyalahi undang-undang, kerajaan perlu memikirkan dari sudut yang berbeza.

Dalam pada itu, Mohamad Zulfithri memberitahu, jarak antara kolej kediaman dengan kampus yang jauh menjadi salah satu sebab perkhidmatan tersebut mendapat permintaan.

Perkhidmatan itu juga mudah untuk diperoleh berbanding sekiranya pelajar mahu menaiki bas yang tidak tentu masa pergerakannya selain terpaksa berjalan jauh untuk menunggu di pondok bas.

Tambahnya, bas di USIM juga telah lama dan kebanyakan bas-bas itu telah usang.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila pelajar di universiti berkenaan menjadikan prebet sapu sebagai platform untuk mencari wang tambahan.

Malah, rata-rata pelajar di universiti berkenaan lebih selesa menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke kelas dan sebagainya kerana tambang yang murah berbanding menggunakan perkhidmatan e-hailing. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kami bukan hidupkan ‘prebet sapu’ tapi kehidupan di IPT mencabar

Isu prebet sapu disuarakan dalam Parlimen Mahasiswa tahun lalu – MPPK