Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menafikan dakwaan kononnya rakyat Singapura antara tujuh individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang berlaku semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette hari ini dalam perkembangan terbaharu kes tersebut.

“Kesemua individu yang direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Mei depan merupakan suspek warga tempatan.

“Semua (suspek) yang ditahan dan direman dalam kes ini adalah warga tempatan, tiada (warga Singapura) seperti dilaporkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini laporan media mendakwa polis telah menahan reman tujuh hari ke atas tujuh individu termasuk seorang warga Singapura bagi membantu siasatan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Perintah reman dibenarkan oleh Majistret Johor Bahru, Hidayatul Syuhada Samsudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini mulai hari ini sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kesemua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tujuh individu yang ditahan dalam kes ini termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun menerusi hasil serbuan di kediaman keluarga suspek awal pagi semalam.

Turut direman dalam kes itu adalah dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis untuk membuat laporan sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tembak tersebut.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi semalam, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Suspek yang ditembak mati oleh polis itu dikenalpasti sebagai menganggotai kumpulan Jemaah Islamiah (JI).

Anggota polis yang cedera akibat ditembak kini dirawat di Hospital Sultan Ismail dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.- MalaysiaGazette