Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan bermula 9 pagi hingga 7 malam pada 5 Mei ini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata, pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Para pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun 2024 (Khamis) setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian asset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akan mencapai sekitar 20% pada jam 3 petang, 6 Jun 2024 (Khamis) diikuti dengan 90% pada jam 3 pagi, 7 Jun 2024 (Jumaat).

Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 12 tengah hari, 7 Jun 2024 (Jumaat).

Air Selangor memaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.

Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.

Menurutnya, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat). – MalaysiaGazette