Kedudukan kubur suspek di hujung tanah perkuburan dari kubur-kubur yang lain.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram hingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh perlu diletakkan berjauhan dari kubur yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Mohd Fared Mohd Khalid

“Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu,” kata Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.

Malah, jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.

Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.

“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.

“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette