Ketua Polis negara, Tan Sri Razaruddin Husain dan M. Kumar meninjau Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang diserang pada Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU: Seramai tujuh individu direman dan disiasat dalam siasatan serangan sebuah balai polis Ulu Tiram, Johor  setakat ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan masih dijalankan.

“Sekiranya ada perkembangan baharu, kita akan maklumkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam serangan jam 2.54 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian tersebut manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Mereka yang direman ialah lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang ditahan sejak Jumaat lalu, susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek selepas kejadian.

Turut direman, dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Kumar meminta masyarakat memberi ruang untuk polis menjalankan siasatan. – MalaysiaGazette