Aina Abdul dan Ernie Zakri.

KUALA LUMPUR – Bayangkan dua vokal hebat bergabung, pastinya aura yang muncul terus meledak.

Itu yang berlaku apabila Ernie Zakri dan Aina Abdul bakal berduet di Konsert Destiny Of Music yang akan diadakan pada 29 Jun depan.

Malah mereka akan berpadu suara mendendangkan lagu Kurik Kundi nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bakal menguji vokal kedua-dua penyanyi dalam irama tradisional.

Apatah lagi, keharmonian nyanyian mereka memang tiada tandingan dan suara sebati bersama kerana kedua-duanya memiliki kekuatan vokal sendiri.

Sementara itu, Konsert Destiny of Music yang akan berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menampilkan kelainan dengan mempersembahkan perjalanan dan perkembangan muzik dari era 80-an hingga ke hari ini.

Ini kerana konsert yang dibawakan khas oleh B De Paris Beauty Project dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UiTM mahu mengembalikan memori penonton ke zaman kanak-kanak di mana penonton bakal dihiburkan dengan lagu-lagu rakyat serta lagu tradisional yang hampir tidak didengari lagi oleh masyarakat hari ini.

Penganjur, Burhan Ahmad berkata, selain Ernie dan Aina sebagai penampilan khas, konsert itu akan menampilkan artis terkenal lain seperti Haziq Rosebi, Kugiran Masdo, Rayme Zainal, barisan penyanyi, pemuzik dan penari dari UiTM.

“Konsert Destiny of Music mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di atas inisiatif pihak penganjur dan UiTM dalam menyemarakkan aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan.

“Konsert ini juga merupakan konsert amal dan sebahagian dari kutipan tiket akan disumbangkan kepada Tabung Pelajar UiTM,” katanya.

Burhan menambah, Ernie dipilih menjayakan konsert itu kerana dia merupakan alumni UiTM manakala Aina pula antara penyanyi yang popular ketika ini.

Tahun lalu, Ernie dan Aina menjadi viral apabila buat pertama kalinya berduet mendendangkan lagu Kau Kekasihku nyanyian asal Siti Nurhaliza dalam sebuah program hiburan.

Rata-rata netizen menyifatkan gandingan dua penyanyi itu seperti mengimbau semula zaman kegemilangan Siti Nurhaliza dan Ziana Zain suatu ketika dahulu.

Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam mampu memuatkan 3,000 tempat duduk bagi menjamin keselesaan kepada penonton.

Sementara itu, tiket konsert telah mula dijual secara online di Ticket2U.com dengan harga bermula dari RM98.00 hingga RM488 bagi orang awam.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan Konsert Destiny Of Music serta pembelian tiket, orang ramai boleh menghubungi talian+6 0172097482.  – MalaysiaGazette

Haziq Rosebi.