Orang ramai berkumpul di tapak tanah runtuh di Maip Mulitaka di Wilayah Enga di Papua New Guinea pada 24 Mei 2024.

PAPUA NEW GUINEA – Tanah runtuh dikhuatiri membunuh ramai orang selepas ia melanda enam kampung terpencil di sini.

Tanah runtuh menimbus lebih 100 rumah ketika kejadian jam 3 pagi waktu tempatan di tanah tinggi Enga, utara negara pulau di barat daya Pasifik.

Setakat ini, jumlah mangsa yang terperangkap dalam runtuhan belum diketahui secara rasmi.

Gabenor Enga Peter Ipatas berkata, bencana alam seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape berkata, kerajaannya telah menghantar pasukan bencana ke tapak tanah runtuh untuk “memulakan kerja bantuan, mengesan mayat, dan pembinaan semula infrastruktur.

“Saya akan mengeluarkan maklumat lanjut kerana saya diberi taklimat sepenuhnya mengenai skala kemusnahan dan kehilangan nyawa,” kata Marape dalam satu kenyataan.

Imej dalam talian menunjukkan berpuluh-puluh orang memanjat ke atas batu yang tumbang untuk meninjau kerosakan akibat tanah runtuh. Banyak rumah kelihatan roboh dan pokok tumbang.

Media tempatan melaporkan, orang ramai boleh didengari menangis dan menjerit dalam video yang dikongsikan oleh pengguna Facebook.

“Terdapat laporan kematian dan banyak korban, tetapi jumlah sebenar masih belum disahkan,” kata jurucakap Persatuan Palang Merah Papua New Guinea.

Beliau menambah, pasukan tindak balas kecemasan terdiri daripada pegawai dari pejabat gabenor wilayah, polis, pasukan pertahanan dan NGO tempatan telah dikerahkan ke tapak tersebut.

Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa CARE memberitahu, ia sedang menjalani penilaian situasi” mengenai kejadian itu.

Enga terletak lebih 600km melalui jalan darat dari ibu negara, Port Moresby. – Agensi