Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Bekas juara Kejohanan Badminton All England Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2024 selepas tiga tahun dengan menyingkirkan kawannya Anders Antonsen dari Denmark, hari ini.

Masih segar daripada memenangi kejuaraan Terbuka Thailand minggu lepas, pemain ke-10 dunia Zii Jia, yang diberi sokongan padu penyokong tuan rumah, mencatat kemenangan 21-15, 19-21, 21-11 setelah bertarung selama 84 minit menentang juara Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena di sini.

Ia hanyalah kemenangan ketiganya menentang pemain nombor empat dunia Antonsen dalam lapan pertemuan antara mereka dengan kemenangan pertama diperolehi dalam Kejohanan Malaysia Masters 2020.

Zii Jia yang memburu kejuaraan pertama di negara sendiri akan berdepan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong yang mengejutkan pilihan ketiga Li Shi Feng dari China 21-13, 21-15.

Pencapaian terbaik Zii Jia yang berusia 26 tahun dalam Malaysia Masters adalah peringkat separuh akhir pada 2020 apabila dia tunduk kepada juara pertandingan itu Kento Momota, manakala dia mara ke suku akhir pada 2019.

Bagaimanapun, kempennya berakhir awal dalam edisi lain apabila tersingkir di pusingan pertama pada 2017 dan pusingan kedua pada 2018 dan 2023, dia tidak mengambil bahagian pada 2022, manakala pada 2021 pertandingan itu telah dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Tetapi penyertaan Zii Jia di separuh akhir masih tidak dapat ditentukan kerana pemain itu mengalami kekejangan kaki dan badan pada perlawanan hari ini.

Pengurusnya Lee Zii Yii berkata, Zii Jia melakukan rawatan mandi ais di Institut Sukan Negara (ISN) sejurus tamat perlawanan dan keadaannya akan dinilai pagi esok.

“Tadi selepas set kedua, boleh dilihat beliau memanggil pegawai perubatan sebab otot menjadi kejang dan letih kerana baru balik dari Thailand, manakala semalam, beliau juga harungi perlawanan yang sengit (menentang Kiran George dari India).

“Sekarang dia mengalami kejang kaki…berdiri, duduk, berjalan pun sakit. Jadi kami menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) menanyakan sama ada dia boleh melakukan mandi ais atau tidak dan sekarang kami telah menghantarnya untuk mandi ais dengan segera sebelum tempat itu ditutup.

“Kami mencuba sebaik mungkin untuk membiarkan dia pulih sebanyak yang boleh, jadi kita akan lihat bagaimana kondisinya kerana beliau baru sahaja menghabiskan perlawanan. Saya tidak dapat kata apa-apa lagi, sebaik sahaja dia bangun, kita akan nilai keadaannya,” katanya kepada pemberita.

— LAGI