IMTN bond Najib Razak Abank TIA Terengganu Investment Authority Jho Low
Tan Sri Ismee Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah SRC International Sdn  Bhd, Tan Sri Ismee Ismail mendakwa tidak pernah membantah apa-apa arahan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak.

Ismee yang sedang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini mendakwa, beliau percaya setiap arahan Najib yang juga pemegang saham tunggal SRC itu adalah untuk kebaikan dan kepentingan negara.

Jelas Ismee, sepanjang beliau berada di SRC, setiap arahan itu juga akan dituruti tanpa sebarang keraguan.

“Itulah realitinya, saya tidak menolak arahan daripada Datuk Seri Najib kerana percaya semua dilakukan untuk kebaikan negara. Tidak ada alasan untuk meragui tindakan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO,) Nik Faisal Ariff Kamil.

Selain Najib dan Nik Faisal, Ismee telah dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Najib yang berada di kandang tertuduh hanya sekadar memerhati ketika sesi soal balas berjalan dengan peguam, Chong Yik Loong.

Jawapan yang diberikan oleh Ismee hampir sama dengan keterangan bekas Pengarah SRC, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang bersangka baik tanpa keraguan terhadap dana RM4 bilion dipinjam Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada syarikat.

Ismee juga mendakwa terkejut apabila diberitahu oleh Nik Faisal bahawa kerajaan telah memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP.

“Sememangnya saya terkejut dan berita itu menggembirakan kerana sukar untuk mendapat jaminan kerajaan bagi pinjaman seperti ini,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung pada 13 Jun depan. – MalaysiaGazette