KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa rekaan pakaian yang bakal disarung oleh atlet-atlet kontinjen negara di Sukan Olimpik 2024 tidak lama lagi sebagai ketinggalan zaman dan tidak mencerminkan semangat serta dinamika rakyat negara ini.
Ketua Pemuda Gerakan Perak, Ng Chong Chun berkata, rekaan yang terpilih jelas menunjukkan kegagalan Majlis Olimpik Negara (MOM) untuk mengenal nilai estetika kontemporari dan keperluan atlet yang akan memakai pakaian tersebut.
“Ini bukan sahaja mempengaruhi imej negara kita di pentas dunia tetapi juga boleh merendahkan semangat dan menimbulkan rasa malu para atlet yang seharusnya merasa bangga dengan pakaian yang mereka sarung” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Chun mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk segera mengkaji semula proses pemilihan rekaan tersebut dan bukannya memberi jawapan selamat ‘cuci tangan’ atau menuding jari kepada MOM.
Beliau turut hairan adakah itu sahaja yang mampu menteri daripada Kerajaan Madani atau lebih spesifik pemimpin DAP menangani sesuatu isu.
Ujarnya, suara mahupun pendapat rakyat sangat penting kerana mereka adalah penyokong atau pembakar semangat kepada atlet-atlet negara yang akan membawa pulang pingat serta kejayaan.
“Sekiranya situasi sebaliknya berlaku iaitu pakaian rasmi kontinjen Malaysia mendapat pujian atau perhatian “Adakah Hannah Yeoh tidak ambil ‘claim‘ atas kejayaan tersebut”.
“Saya berharap pihak KBS dan MOM akan mengambil langkah segera dan terima kenyataan yang rakyat hanya mahukan yang terbaik untuk kontinjen kita, dan ia termasuk memastikan mereka merasa dihargai dan dihormati melalui pakaian yang mereka pakai,” ujarnya.
Terdahulu, rata-rata peminat sukan di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.
Malah, netizen menyifatkan pakaian berkenaan tidak cantik dan mempersoalkan logo bendera Malaysia yang dikatakan tidak ‘tepat’.
Namun, ketika saingan Olimpik hanya berbaki 31 hari lagi, Ketua Kontinjen Negara (CDM) negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berharap seharusnya semua pihak terus memberi sokongan kepada kontinjen negara dan tidak memperdebatkan isu itu. – MalaysiaGazette