Foto Facebook Faisal Halim.

KUALA LUMPUR – Luka pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim susulan kecederaan lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik masih lagi belum kering.

Namun pemain itu sudah mula menjalani fisioterapi ringan untuk mengembalikan kekuatan ototnya.

Perkembangan itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon yang menjelaskan proses pemulihan pemain itu berjalan dalam keadaan baik dengan Faisal masih berulang-alik ke hospital untuk mencuci luka dan membuat balutan baharu bagi kecederaannya itu.

Johan memaklumkan fokus utama kini adalah bagi memastikan luka Faisal dapat pulih sepenuhnya sebelum pemain itu memasuki fasa seterusnya membabitkan aspek kecergasan dalam misi untuk kembali beraksi di padang.

“Keutamaan kita buat masa ini adalah supaya lukanya kering sepenuhnya. Selagi lukanya belum kering, dia tidak boleh memulakan aktiviti lasak. Dia ada membuat fisioterapi ringan yang tidak berpeluh sangat supaya ototnya tidak terlalu keras.

“Dia perlu melengkapkan fasa pertama ini dahulu sebelum boleh mula memasuki fasa kedua. Masih ada luka basah ketika saya melawatnya sebelum ini, ada kuning-kuning yang saya tidak pasti, mungkin nanah tetapi yang jelasnya luka itu belum lagi kering,” kata Johan memetik laporan BH Online hari ini.

Johan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian antara SFC dengan Johawaki Holdings Sdn Bhd sebagai rakan strategik di Pusat Latihan SFC, Shah Alam.

“Perkembangannya sangat memberangsangkan di mana doktor memaklumkan dia memerlukan tempoh tujuh minggu di hospital tetapi dia sudah keluar dalam tiga ke empat minggu. Sepatutnya dia menjalani sembilan pembedahan tetapi hanya empat.

“Saya rasa ini berkat doa seluruh rakyat Malaysia dan ketika ini, dia hanya fikir untuk kembali ke padang. Semangatnya begitu besar tetapi badannya masih belum bersedia.

“Saya katakan kepada Faisal supaya dapat bersabar, ambil masa untuk sembuh sepenuhnya dan fokus kepada kecergasan sebelum dapat kembali bermain,” katanya.

Pada 5 Mei lalu arena bola sepak negara dikejutkan apabila pemain pasukan kebangsaan itu menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Selepas mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu dibenarkan keluar hospital 25 Mei lalu.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan lagi sebelum boleh kembali beraksi. – MalaysiaGazette