Logo Afengsi Antidadah Kebangsaaan (AADK) di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 05 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menafikan pihaknya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menahan seorang lelaki disyaki penagih dadah, semalam.

Perkara itu merujuk kepada hantaran yang tular di aplikasi X, oleh seorang wanita yang mendakwa adik lelakinya telah ditangkap pihak AADK tanpa mengikut SOP.

Jelas AADK, kejadian terbabit berlaku sekitar jam 6 petang dalam satu operasi Op Pengesanan Perdana yang dilaksanakan AADK Daerah Cheras atas maklumat aktiviti penagihan penyalahgunaan dadah di Jalan Jejaka 4, Taman Maluri.

“Dalam tindakan pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS) di kawasan itu, AADK Cheras telah menahan seorang individu diklasifikasikan sebagai OYDS dengan SOP yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa AADK.

“Pun begitu, ketika penahanan OYDS dilakukan, terdapat seseorang berada di lokasi sama dalam keadaaan mencurigakan dan apabila pegawai AADK cuba mendekati individu tersebut dan memperkenalkan diri, dia telah bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang pengguna di laman X mendakwa adik lelakinya ditahan tanpa mengikut SOP penahanan di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Jelasnya, tindakan tersebut menimbulkan kecurigaan yang munasabah sehingga membawa kepada penangkapan individu berkenaan.

“Selepas kedua-dua ditahan, pegawai AADK telah mempamerkan sekali lagi kad kuasa dan ketika semakan dalam sistem MyAADK dibuat, seorang daripada individu tersebut telah menolal pegawai AADK bagi cubaan melarikan diri buat kali kedua.

“Tindakan itu membawa kepada penahanannya dan di bawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan dokumentasi dan ujian-ujian tertentu bagi mengenalpasti sama ada penagih ataupun tidak,” jelasnya.

Tambah AADK, lelaki terbabit kemudiannya dilepaskan susulan keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati individu tersebut negatif dadah.

“Penahanan individu itu adalah tidak melebihi tempoh 24 jam dan masih mematuhi SOP yang ditetapkan dalam APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“AADK mengambil serius berkenaan tata kelola pegawai dan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas,” katanya. – MalaysiaGazette