Gambar kereta dari negara jiran yang tular mengisi minyak bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Melaka.

ALOR GAJAH – Pengusaha sebuah stesen minyak di Masjid Tanah di sini yang tular gambarnya disyaki menjual minyak bersubsidi RON95 kepada sebuah kenderaan bernombor plat Singapura bakal berdepan denda sehingga RM1 juta.

Ia selepas premis terbabit diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka kira-kira pukul 10 pagi tadi diketuai pengarahnya, Norena Jaafar.

Hasil semakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan mendapati, seorang lelaki disyaki warga asing berusia lingkungan 30-an membayar RM23.17 melalui transaksi OPT (Outdoor Payment Terminal) untuk membeli minyak RON95 pada pukul 4.35 petang Ahad lalu.

Norena (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pengusaha wanita berusia sekitar 30-an.

“Hasil soal tanya, pengusaha wanita berusia sekitar 30-an memberi alasan tidak perasan kejadian berkenaan kerana kedudukan pam minyak yang agak terselindung namun masih boleh dilihat menerusi CCTV.

“Satu kertas siasatan akan dibuka untuk tujuan pendakwaan terhadap pengusaha berkenaan kerana larangan pembelian RON95 oleh kenderaan nombor pendaftaran warga asing sudah dikuatkuasakan sejak 17 Jun 2022 lagi,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, semakan di CCTV juga mendapati pemandu kenderaan warga asing itu menyedari kesalahan dilakukan kerana tindakannya mundar mandir di kawasan itu sebelum memilih pam minyak yang terselindung.

“Mujurlah, tindakannya itu disedari seorang penghantar p-hailing yang menegurnya sebelum lelaki berkenaan tergesa-gesa meninggalkan stesen minyak berkenaan,” katanya.

Tindakan terhadap pengusaha dibuat di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Tambah Norena,  jika disabit kesalahan, pengusaha stesen minyak boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Denda teruk teruk sikit. Psl org mcm ni lah satu Malaysia kena tarik subsidi. Nyamuk punya psl, kelambu sekali rumah rumah kena bakar

Comments are closed.