Ketua Pegawai Eksekutif BECTA, Siti Ainol Khabtiah Jamil (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif EP yang diwakili John Thatcher (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif NIC, Zuraimy Abd Ghani (tiga kanan) bergambar bersama selepas menandatangi MoU yang disaksikan oleh Pengerusi BECTA, Datuk Seri Norazali Sulaiman (dua kanan) di One World Hotel, Petaling Jaya. Foto SYADILA AMARI, 10 JUN 2024.

PETALING JAYA – BECTA Training Academy Sdn Bhd (BECTA) melangkah setapak ke hadapan dalam membangunkan pelan strategik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkaitan pendidikan penjagaan kesihatan.

BECTA yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil hari ini menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan syarikat penyedia latihan dari United Kingdom, Eastwood Park Limited (EP) dan National Integrated College (NIC).

Menurut Siti Ainol Khabtiah, BECTA berperanan menyediakan infrastruktur dan memantau perjalanan kerjasama bagi memastikan segala perancangan berjalan mengikut jadual.

EP pula bertindak memberi khidmat nasihat dalam membangunkan pelan strategik berkaitan TVET yang merangkumi pembangunan fasiliti, kurikulum serta memastikan ia relevan dengan industri dan memenuhi piawaian semasa.

Manakala NIC berperanan menyediakan perkhidmatan sokongan akademik serta memastikan kemudahan dan peluang latihan praktikal mencukupi dan boleh diakses untuk pelaksanaan program TVET yang telah dirancang.

Siti Ainol Khabtiah Jamil

“Kalau kita lihat dalam industri kesihatan tak banyak institusi yang menawarkan pembelajaran berasaskan TVET khusunya kejuruteraan bio-kesihatan.

“Jadi selaras dengan agenda pendidikan semasa, industri penjagaan kesihatan juga tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan peluang kepada kepada pelajar yang berminat,” katanya.

Menurut beliau BECTA telah menandatangai perjanjian dengan EP tahun lalu dan NIC dilibatkan dalam kerjasama terkini untuk menyediakan platform pendidikan.

“Dalam indusri kesihatan, melalui pengalaman kita sendiri ramai dalam kalangan juruteknik atau jurutera yang tidak ada latarbelakang kelayakan yang kuat (dalam penjagaan kesihatan) namun mereka mempunyai pengalaman kerja yang banyak, skill tertentu boleh diasah dan akhirnya boleh menyumbang kepada industri kesihatan itu sendiri.

“Sebab itu kita nak tawarkan TVET kesihatan supaya mereka diberi peluang dan ruang untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan daripada badan-badan tertentu supaya bakat dan kepakaran mereka diiktiraf dalam bidang kesihatan,” jelas Siti Ainol Khabtiah.

John Thatcher

Pada mallis itu Ketua Pegawai Eksekutif EP John Thatcher mewakili syarikat menandatangani perjanjian manakala NIC diwakili Ketua Eksekutif Zuraimy Abd Ghani.

Sementara itu Thatcher berkata, berdasarkan pengalaman EP sebagai penasihat kebangsaan perkhidmatan kesihatan (NIH) kepada kerajaan United Kingdom sejak 1996 dan kemudian sebagai pusat latihan swasta bermula 2013, banyak yang boleh ditawarkan dalam kerjasama tersebut.

“Saya fikir kita mempunyai potensi yang besar di sini untuk melakukan sesuatu yang lebih baik daripada secara individu. Kita bukan sahaja boleh melakukan latihan tetapi mengemaskini kemahiran terutama kepada golongan muda sekali gus membuka peluang pekerjaan lebih baik.

“Kita juga boleh membantu rakan kongsi tempatan untuk bekerjasama dengan negara lain dalam bidang ini,” kata beliau.

Zuraimy Abd Ghani

Manakala Zuraimy pula berkata, NIC teruja dengan kerjasama yang dijalinkan bersama kerana NIC ketika ini turut menawarkan Diploma Pengurusan Penjagaan Kesihatan dan Keselamatan.

“EP lebih kepada tekhnologi tinggi, skill-skill yang akan diajar di EP lebih kepada keperluan di masa hadapan dan boleh memenuhi permintaan industri kesihatan.

“Kami sangat teruja untuk kerjasama dengan EP dan BECTA. Sebab EP ini sangat terkenal dengan akademi latihan di bawah NHS di UK dan telah melatih ramai tenaga kerja mahir. Kami sangat berharap dapat memenuhi permintaan dan keperluan industri dalam bidang kesihatan,” kata Zuraimy.

Tambahan menurut beliau, Malaysia kini bukan lagi negara pengguna peralatan kesihatan tetapi telah beralih kepada negara penggeluar justeru lebih banyak tenaga mahir dalam bidang penjagaan kesihatan perlu dilahirkan. – MalaysiaGazette