Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan polis petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan terbabit ditahan pada jam 2.30 petang di mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

“Ya, datuk dan nenek telah ditangkap petang tadi di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.

“Kemungkinan besar akan direman namun permohonan reman ke atas pasangan terbabit akan diketahui esok,” katanya secara ringkas ketika dihubungi, hari ini. 

Difahamkan, penahanan pasangan itu dibuat oleh anggota Bahagian Siasatan jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Selangor bagi membantu siasatan kematian Zayn Rayyan.

Pagi tadi, ibu kepada Zayn Rayyan hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi  memberi keterangan dan tiada sebarang pengakuan salah dibuat. 

Difahamkan, prosiding hari ini adalah permohonan polis untuk merekodkan pengakuan bersalah Orang Yang Disyaki (OYDS) mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Bagaimanapun,perkara itu dibantah oleh kedua-dua peguam yang mewakili pasangan suami isteri terbabit iaitu Mahmud Jumaat dan Fahmi Abdul Moin.

Jelas Mahmud, anak guamnya tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Untuk rekod, ibu bapa Zayn Rayyan masih lagi direman sehingga 13 Jun dan sebarang keputusan sama ada mereka akan dituduh atau bebas ditentukan esok.

Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui mati di anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaan, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui 200 meter dari blok kediamannya oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi pencarian.

Polis mengesahkan mangsa telah dibunuh susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak dipercayai ada unsur jenayah. – MalaysiaGazette