Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bersama isterinya Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anaknya Muhammed Amir dan Muhammed Amin hadir ke mahkamah untuk didakwa berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, keluarga dan 18 syarikatnya berhubung pembekuan akaun bank milik mereka.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memaklumkan perkara itu hari ini.

Hakim kemudian memerintahkan pihak responden untuk memfailkan bantahan tersebut selewet-lewatnya 12 Julai ini dan bantahan tersebut ditetapkan untuk pendengaran pada 8 Ogos ini.

Pada 6 Jun lepas, Daim bersama isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka, Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin telah memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya pembekuan akaun dibatalkan.

Selain kesemua mereka, turut memfailkan permohonan sama ialah 18 syarikat berkaitan keluarga itu.

Dalam permohonan itu, mereka telah menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Haris Fadhila Sukaime, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Juga Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden pertama hingga keenam. 

18 syarikat itu  ialah AAD Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Malur Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd.

Juga Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Dalam afidavit permohonan, pemohon juga telah memohon perintah membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLACFT terhadap akaun bank berkenaan.

Pemohon telah menamakan beberapa responden termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan kerajaan Malaysia.

Afidavit juga itu berkata, sehingga hari ini mereka tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dikaitkan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (Akta AMLACFT) (Perintah Membekukan Harta).

Daim dan pemohon lain memohon pelbagai relif, antaranya untuk mengisytiharkan bahawa pembekuan akaun mereka adalah tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan mereka dan didorong oleh mala fide atau berniat jahat. -MalaysiaGazette