Mohammad Sabri Mydin Pillay didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal yang tular selepas bertindak memukul cermin sebuah kereta menggunakan topi keledar didakwa atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan khianat di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pembantu peniaga mi goreng, Mohammad Sabri Mydin Pillay, 46, bagaimanapun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah berumahtangga itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kecederaan dan kegentaran terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pemandu sebuah kereta jenis Kia Sportage.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan masing-masing bahagian kanan cermin sisi dan lampu kereta milik lelaki sama yang menyebabkan kerugian berjumlah RM5,000.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 bersertakan seorang penjamin dan syarat tambahan.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada jam 2.50 petang di Jalan Sungai Pinang sehingga Jalan Patani di sini, pada 8 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Zhamaliah Mohamad Ismail.

Ketika prosiding Darrshini menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati saksi dan mangsa pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Siti Zhamaliah memohon agar anak guamnya diberikan jaminan minima atas alasan perlu menyara isteri serta ibu bapa uzur dengan pendapatan harian sebagai pembantu peniaga mi goreng berjumlah RM70.

Siti Zhamaliah turut memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya dalam masih menerima rawatan dengan pihak hospital susulan mempunyai masalah darah tinggi serta kemurungan.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan seperti dimohon DPP.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 23 Julai ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki ditahan pukul cermin kereta guna topi keledar

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan, tindakan seorang lelaki memukul cermin sebuah kereta menggunakan topi keledar membawa padah selepas dia ditahan polis di kediamannya di Sungai Pinang di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 30 an itu direman selama empat hari  sehingga 12 Jun ini.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu selepas pemandu kereta terbabit secara tidak sengaja melanggar motosikal suspek. – MalaysiaGazette