Pemain Harimau Malaya, Adib Raop meraikan gol ketiga semasa menentang pasukan Taiwan pada Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap kiri Penang FC, Adib Ra’op tetap bersedia untuk terus fokus aksi Piala FA pula esok selepas selesai tugasan bersama skuad kebangsaan.

Bakal berdepan Sri Pahang FC dalam pusingan 16 Piala FA, Adib menyifatkan tahap kecergasannya masih di tahap terbaik meskipun hanya dapat kembali berlatih bersama kelab satu hari sahaja.

Bahkan beliau gembira apabila dapat menjaringkan gol debut untuk aksi pertamanya bersama Harimau Malaya menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 semalam sambil menganggap jaringan itu menaikkan lagi semangatnya untuk terus memburu gol peribadi pada perlawanan akan datang.

Bagaimanapun, untuk perlawanan Piala FA ini, Adib sentiasa bersedia untuk diturunkan sekiranya berada dalam kesebelasan utama bagi membantu pasukan menghadapi anak buah Fandi Ahmad di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

“Saya akan cuba faham dengan taktikal jurulatih (Akmal Rizal) untuk menentang Sri Pahang nanti dan sekarang tiada masalah pun daripada segi kecergasan.

“Saya juga sudah banyak belajar daripada skuad kebangsaan yang boleh diterapkan untuk aksi Piala FA ini dan telah banyak membantu saya untuk menjadi pemain lebih matang.

“Apatah lagi dapat menjaringkan gol peribadi yang pertama buat skuad kebangsaan, saya semakin positif untuk terus berikan yang terbaik di atas padang,” jelasnya.

Muhammad Adib Abdul Ra’op. Foto FB FAM.

Pemain berusia 25 tahun ini juga mengakui perlawanan menentang Sri Pahang bukan mudah selain menganggap pemain import mereka antara yang boleh memberi ancaman besar kepada Penang FC.

“Bagi saya, Sri Pahang bukanlah kelab yang boleh kita pandang rendah sebab mereka mempunyai ramai pemain berkualiti.

“Import mereka juga memang bagus dan berpengalaman jadi kami di Penang FC memang kena buat sesuatu yang berbeza untuk cuba mendapatkan kemenangan Jumaat ini,” tambahnya.

Saingan pusingan 16 Piala FA bermula hari ini dengan aksi antara PDRM FC menentang Malaysian University FT.

Selain perlawanan Sri Pahang berdepan Penang esok, tiga lagi aksi adalah membabitkan Kuala Lumpur City FC melawan Kuching City FC, Terengganu FC bertemu Perak FC dan Kedah Darul Aman FC pula menentang Bukit Tambun FC.

Baki tiga perlawanan lagi berlangsung pada Sabtu menyaksikan Selangor FC akan menerima kunjungan Negeri Sembilan FC, Sabah FC melawan KL Rovers FC manakala Kelantan Darul Naim FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail menentang Johor Darul Ta’zim (JDT). – MalaysiaGazette