Suspek berusia 25 tahun ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur semalam.

MELAKA – Akibat terjerat hutang ahlong kerana kalah judi di kasino, seorang lelaki sanggup bekerja dengan ceti haram mengambil upah membakar kenderaan pelanggan sindiket itu menggunakan bom petrol buatan sendiri semalam.

Perbuatan itu terbongkar selepas suspek berusia 25 tahun ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur.

Tangkapan dibuat sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia susulan pihaknya menerima laporan kes khianat kenderaan dibaling bom petrol di sebuah rumah di Taman Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah di sini pada 6 Jun lalu.

“Mangsa wanita berusia 38 tahun mendakwa kejadian berpunca daripada hutang ahlong kerana sebelum ini keluarganya pernah diganggu sindiket berkenaan.

“Pemilik rumah mendakwa anak lelakinya yang bekerja di Singapura ada memberikan akaun bank miliknya kepada rakan untuk pinjaman ahlong namun lelaki itu melarikan diri menyebabkan anaknya menjadi sasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainol, suspek juga ada melakukan ugutan dengan meninggalkan notis memberitahu mereka akan mencari ahli keluarga yang lain selagi hutang tidak dilangsaikan.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, suspek mengaku bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang di Singapura dengan bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan khianat bom petrol.

“Malah suspek turut mengaku terlibat dalam dua kes bom petrol di Masjid Tanah, Melaka dan di Setiawan, Perak membabitkan nilai kerugian RM10,000.

“Lelaki itu turut mengaku mempelajari cara membuat bom petrol melalui Youtube dan mengambil upah kerana ingin melangsaikan hutang RM10,000 dengan ahlong selepas dia bermain judi di Genting Highlands,” jelasnya.

Beliau menambah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenias Toyota Unser milik ibu suspek yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette