Mohammad Faiz Azmi Mohammad Azmi

KUALA LUMPUR – Datuk Mohammad Faiz Azmi Mohammad Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) baharu mengantikan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin yang akan bersara 15 Jun ini.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelantikan Mohammad Faiz Azmi selama tiga tahun berkuat kuasa mulai 16 Jun 2024 selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].

Mohammad Faiz Azmi yang merupakan Ahli Lembaga SC sejak 15 Ogos 2023 mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, pasaran modal, audit dan pengurusan kewangan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni (Perundangan) daripada Durham University dan ahli beberapa badan profesional seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Mohammad Faiz Azmi berpengalaman menjadi Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).

Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan (MOF) yakin beliau mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.

“MOF berterima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Awang Adek atas perkhidmatan beliau di SC dan percaya kepakaran serta pengalaman beliau akan dapat terus dimanfaatkan oleh pasaran kewangan negara,” kata Amir Hamzah.

Sementara itu di bawah kepemimpinan Awang Adek, SC telah merombak dua undang-undang pasaran modal utama yang kini menunggu kelulusan kerajaan.

Kepimpinan beliau turut memperkenalkan Bursa Sosial, sebuah platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan dana swasta dan dermawan, dalam memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.

Pencapaian lain termasuk Program Siswazah Pasaran Modal (investED) untuk memastikan kumpulan tenaga mahir industri yang mampan, pelancaran prinsip Maqasid al-Shariah untuk pasaran modal Islam dan pelancaran pelan hala tuju untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan. – MalaysiaGazette