Reaksi sedih pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama selepas menjadi mangsa simbahan asid pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberi jaminan kebajikan Faisal Halim akan terjaga memandangkan di masih memiliki kontrak jangka panjang sehingga penghujung 2027.

Beliau berkata, penyerang itu  tidak perlu risau tentang keperluan sepanjang menjalani proses pemulihan daripada insiden simbahan asid yang dialami sejak awal bulan lalu.

“Kontrak Mickey bersama pasukan hingga 2027. Sebagai kelab profesional, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai majikan untuk menjaga kebajikan semua pemain-pemain termasuk Mickey.

“Pihak kelab akan terus memberi sokongan kepada Mickey secara mental dan fizikal selain aspek kewangan sehingga dia dapat kembali beraksi semula.

“Dengan semangat yang dapat dipamerkan oleh Mickey, insha-Allah dia akan kembali,” katanya pada sidang media bersama Faisal di Pusat Latihan FAS di sini semalam.

Reaksi sedih pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama selepas menjadi mangsa simbahan asid pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey itu bersama Selangor muncul pertama kali di khalayak selepas kes dirinya disimbah asid awal bulan lalu dan kini sudah dibenarkan keluar hospital.

Tonggak Harimau Malaya itu sebelum ini ditempatkan di lokasi untuk proses pemulihan dan keselamatan dirinya.

Dalam pada itu, Faisal mengakui dia amat merindui sukan bola sepak baik berlatih atau bermain.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, bukan mudah untuk dirinya sekadar terlantar di rumah untuk menonton pasukan Selangor dan Malaysia bermain melalui televisyen.

“Masih terdapat beberapa proses pemulihan yang saya perlu jalani sebelum doktor boleh mengesahkan saya boleh kembali turun ke padang,” katanya.

Awal Mei lalu, mmenjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here