Peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abd Moin bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin akan membuat laporan polis berkaitan penyebaran fakta siasatan di media sosial sehingga menyebabkan kegusaran umum berhubung pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Fahmi Abd Moin, peguam yang mewakili keluarga itu berkata, anak guamnya bimbang dengan penularan maklumat yang disifatkan sebagai fitnah jenayah.

Menurut beliau, keluarga kanak-kanak malang itu sedang membuat pertimbangan untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat.

“Ini satu penyebaran yang lebih kepada fitnah jenayah, mereka akan buat laporan dalam masa terdekat lepas kaji isu ini,” katanya ringkas kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian susulan  penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial sejak semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata, polis mengetahui apa yang disiarkan di saluran Telegram (Edisi Siasat) berhubung kes Zayn Rayyan.

Menurutnya, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

Kata Suhaily, pihaknya sudah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)  bagi menyekat penyebaran maklumat yang boleh mengganggu perbicaraan kes tersebut.

Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memohon dibicarakan atas tuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai pada 5 Dis 2023, sebelum ditemui meninggal dunia keesokannya dekat anak sungai kira-kira 200m dari blok rumahnya.

Hasil bedah siasat menemui kesan kecederaan di leher dan badan mangsa akibat mempertahankan diri. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here