Gambar hiasan

Mutakhir ini ada portal berita tertentu yang menyiarkan reaksi negatif segolongan rakyat ke atas tindakan Kerajaan menetapkan harga runcit diesel pada RM3.35 seliter bermula pada jam 12 tengah malam pada hari Isnin, 10 Jun, di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Sepatutnya suara-suara negatif begini sudah tidak timbul kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberikan justifikasi kukuh ke atasnya melalui beberapa kenyataan beliau yang menegaskan ia mesti dilaksanakan untuk menyelamatkan negara dari kemelut kewangan.

Subsidi pukal lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara sehingga hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun 2020, malah ia turut dinikmati oleh lebih 3.5 juta orang asing.

Keperluan untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan pada tahun 2024 dijangka mencecah RM81 bilion. Penerusan subsidi pukal akan menyebabkan negara terus berhutang sedangkan hutang dan liabiliti kita sudah mencecah 1.5 trilion atau 81 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Yang Di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim sendiri pernah bertitah menyokong hasrat Kerajaan untuk melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan harapan agar ia akan mengurangkan bebanan hutang sekali gus menyumbang kepada lebihan fiskal negara.

Suara-suara negatif begini berpunca daripada tindakan sesetengah pemimpin pembangkang seperti Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang berkata kenaikan harga diesel ini akan menyebabkan kesan gandaan kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.

Sebagai seorang mantan Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi dalam pakatan pembangkang, Muhyiddin perlu bercakap mengenai perkara konkrit yang terhasil melalui kajian mendalam dan tidak bermain dengan spekulasi tidak pasti yang berselindung di sebalik istilah “mungkin”.

Muhyiddin sepatutnya tidak buat-buat bersedih atas perkara yang tidak betul kerana rakyat sebenarnya akan gembira bila melalui penjimatan ini mereka akan memperolehi tambahan bantuan tunai melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Nada suara Muhyiddin ini malah bercanggah dengan kenyataan beliau pada 30 Julai 2022 yang mahukan Kerajaan yang waktu itu diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan subsidi bersasar kerana kajian mendapati 50 peratus subsidi ini digunakan oleh orang kaya.

Bila diteliti rakaman video yang ditularkan oleh portal berita ini, suara-suara negatif ini adalah senada dengan suara Muhyiddin, iaitu kebimbangan peniaga bahawa harga barangan mungkin akan naik menyebabkan mereka juga akan terpaksa menaikkan harga barangan mereka.

Ada juga kedengaran suara-suara yang mendakwa harga perkhidmatan seperti katering akan terpaksa dinaikkan kerana kenderaan yang digunakan untuk membawa bekalan barangan tidak akan mendapat pengecualian melalui MySubsidi Diesel untuk Pengangkutan Barangan Darat.

Ada pula pengguna yang kedengaran menyuarakan kebimbangan bahawa Kerajaan tidak akan mampu mengawal kenaikan harga perkhidmatan dan barangan manakala sesetengah pengguna yang lain mahukan Kerajaan memperkemaskan prosedur perlaksanaan MySubsidi Diesel.

Semua kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas. Sudah tentulah pada peringkat awal perlaksanaan akan timbul beberapa kekeliruan dan permasalahan kecil tetapi kesemuanya boleh diuruskan dengan baik dan pada akhirnya ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat.

Malah ia telah terbukti melalui beberapa langkah kerajaan merasionalisasikan dasar subsidi seperti tarif elektrik, apungan harga ayam dan sebagainya. Di mana kita melihat kerajaan mampu untuk mengekang keadaan-keadaan yang boleh menekan kepada pengguna melalui penstrukturan semula dasar subsidi. Ia akhirnya memberi manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Kajian teliti telah dilakukan oleh Kerajaan sebelum melaksanakan penyasaran subsidi diesel ini bagi memastikan rakyat marhaen tidak terbeban dengannya melalui program BUDI MADANI yang akan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Bagi memastikan kebajikan majoriti rakyat terus terpelihara, melalui BUDI MADANI, kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu terus mendapat subsidi bagi mengawal harga barangan manakala individu yang layak diberikan bantuan tunai bagi membendung kenaikan kos sara hidup.

Melalui MySubsidi Diesel untuk Pengangkutan Darat, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diperkenalkan sebagai satu platform khusus untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih terus mendapatkan subsidi diesel seperti sediakala melalui penggunaan “fleet card”.

Melalui BUDI Agri-Komoditi pula, bantuan subsidi tunai sebanyak RM200 sebulan disediakan kepada golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan Kementerian terlibat untuk dimanfaatkan susulan kenaikan kos diesel jentera pertanian yang digunakan.

Melalui BUDI Individu juga, bantuan subsidi tunai sebanyak RM200 sebulan disediakan kepada pemilik kenderaan diesel individu dengan syarat kelayakan tertentu di mana bantuan ini dapat menampung kenaikan kos pengangkutan harian individu yang menggunakan kenderaan diesel.

Pakar-pakar Ekonomi seperti Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) lebih faham dengan kebaikan yang diperolehi dari perancangan Kerajaan sebab itu mereka tidak ragu-ragu untuk menyokong penyasaran subsidi diesel ini.

Sebab itu mereka berkata penerusan subsidi diesel untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih serta pemberian bantuan subsidi tunai kepada kelompok yang terkesan dijangka tidak akan menyebkan kenaikan ketara kepada harga barang dan perkhidmatan pengguna.

Terdapat 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam yang layak mendapat subsidi, iaitu Bas Sekolah, Bas Ekspres, Bas Berhenti-henti, Bas Mini, Bas Pengantara, Kereta Sewa, Teksi, Van Mayat/Lori Mayat serta Ambulans dan Bomba yang dikendalikan oleh badan sukarela.

Selain itu, sebagai tambahan kepada 9 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan yang layak mendapat subsidi, pada 13 Jun diberikan tambahan 14 jenis kenderaan lain yang layak, termasuk Bas, Van dan Lori Food Catering serta Bas, Van dan Lori Rigid Perkhidmatan Bergerak.

Jika diteliti kandungan video ini, akan didapati bahawa semua kenderaan di dalamnya, termasuk Bas, Van dan Lori Food Catering, adalah kenderaan pengangkutan darat barangan yang layak mendapat subsidi, oleh itu menaikkan harga sebab peningkatan kos operasi adalah tidak wajar.

Kalau sekalipun harga dinaikkan di peringkat logistik, ataupun di mana-mana peringkat, mana-mana pihak boleh melaporkan perkara ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk unit penguatkuasanya turun padang dan membuat siasatan.

Peniaga yang bersuara di dalam video ini sendiri pun mengakui bahawa setakat ini semua cerita kenaikan harga barangan dan perkhidmatan masih bersifat spekulasi pada tahap “mungkin” sahaja, tetapi pembekal barangan dan perkhidmatan masih belum betul-betul menaikkan harga lagi

KPDN sendiri telah menunjukkan ketegasan menangani kenaikan harga ini dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap 10 buah syarikat yang mengumumkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

KPDN juga memberi amaran tegas bahawa mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan olehnya, terutamanya di bawah AKHAP 2011.

Tegasnya, kebimbangan sesetengah golongan ini sebenarnya hanya didorong oleh sentimen-sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Dengan pendekatan yang lebih menyeluruh mereka pasti menyokongnya. Seterusnya dapat menghapus persepsi ‘mungkin’ di kalangan rakyat dalam aspek penyasaran semula subsidi oleh kerajaan.

Kita yakin kerajaan akan sentiasa mengambil kira pelbagai faktor dalam membantu rakyat sekiranya berlaku tekanan yang kuat terhadap kesan rasionalisasi subsidi ini dari semasa ke semasa.

Dr. Mashitah Mohd Udin

Dr. Mashitah Mohd Udin adalah pakar dalam bidang pentadbiran awam dan kini merupakan Pengarah di Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here