Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan. Foto WAN NABIL NASIR, 17 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh maut akibat dirempuh tren Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) ketika melintas landasan KLIA Express di Kilometer (km) 12.45, berhampiran Taman SP5, Taman Serdang Perdana semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, kejadian berlaku pada jam 6.30 petang ketika mangsa yang berusia 42 tahun itu melintas landasan berkenaan dipercayai untuk ke rumah kawannya.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada jam 8.45 malam daripada penyelia pasukan pengawal keselamatan KLIA Express memaklumkan berhubung kemalangan di landasan ERL.

“Hasil siasatan awal didapati mangsa menceroboh kawasan berpagar dan masuk ke landasan kereta api KLIA Express untuk melintas ke Jalan Serdang Perdana 5, Seri Kembangan. Semasa mangsa melintas landasan berkenaan mangsa dilanggar oleh tren ERL dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Anbalagan, terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan mangsa cuba melintas landasan itu sebelum dia dilanggar.

Tambahnya, mayat mangsa ditemukan di dalam longkang sedalam lima meter berhampiran lokasi kejadian.

“Tujuan sebenar mangsa melintas di landasan berkenaan masih dalam siasatan namun dipercayai untuk melawat kawannya berdasarkan rakaman percakapan beberapa rakannya.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemukan dalam kejadian ini dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, semakan mendapati mangsa bekerja sebagai kontraktor di Johor dan masuk ke Malaysia, pada 2020. – MalaysiaGazette